FERNANDEZ selamat jalani pembedahan.
FERNANDEZ selamat jalani pembedahan.
AFP

London: Pemain tengah Chelsea Enzo Fernandez terpaksa melupakan baki saingan musim ini selepas menjalani pembedahan akibat kecederaan pangkal paha semalam.

Fernandez berdepan masalah hernia sejak beberapa minggu lalu dan bergelut mencipta impak ketika pasukannya tewas 0-5 di Arsenal.

Bintang Argentina berusia 23 tahun itu bakal terlepas enam aksi terakhir Chelsea dan belum pasti bersama Argentina di Copa America pada Jun.

Fernandez pemenang Piala Dunia 2022 menjadi pemain terbaru Chelsea dilanda kecederaan pada musim mengecewakan kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Pengurus Chelsea Mauricio Pochettino pernah berdepan 12 pemain tidak boleh beraksi dengan pasukannya kini di tangga kesembilan susulan masalah kecergasan yang menjejaskan prestasi mereka.

Kekalahan terbaru di tangan Arsenal selepas ditewaskan Manchester City 1-0 pada separuh akhir Piala FA Sabtu lalu meningkatkan tekanan ke atas Pochettino.

Fernandez yang ditandatangani dari Benfica dengan harga £107 juta (RM639 juta) pada Januari 2023, tampil 28 aksi liga dan hanya menjaringkan tiga gol.

"Enzo Fernandez selamat menjalani pembedahan di pangkal paha hari ini dan akan memulakan proses pemulihan. Dia akan berehat daripada baki cabaran Chelsea untuk musim 2023/24," kata kenyataan kelab.

"Pemain tengah berusia 23 tahun itu akan dipantau oleh jabatan perubatan kelab sepanjang tempoh pemulihannya di Cobham."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 8:24 AM