ADARABIOYO ikat kontrak empat tahun.
ADARABIOYO ikat kontrak empat tahun.
AFP

London: Chelsea menandatangani pertahanan Tosin Adarabioyo dari pencabar Liga Perdana Inggeris (EPL) Fulham dengan perpindahan percuma.

Bekas pemain akademi Manchester City berusia 26 tahun itu bersetuju dengan kontrak empat tahun dan akan berpindah pada 1 Julai selepas kontraknya tamat di Craven Cottage.

"Chelsea adalah kelab besar dan ini salah satu detik dalam karier saya," kata pertahanan tengah Adarabioyo dalam kenyataan Chelsea hari ini.

"Saya dilahirkan tiga batu dari Stamford Bridge dan tampil kali pertama sebagai pemain profesional di sana. Saya sangat gembira dan tak sabar membantu kelab mencapai sasaran."

Adarabioyo yang menyertai Fulham pada 2020 adalah pemain pertama ditandatangani Enzo Maresca sejak dilantik pengurus Chelsea pada awal minggu ini.

Pengendali dari Itali itu menggantikan Mauricio Pochettino yang meninggalkan Stamford Bridge dengan persetujuan bersama selepas tamat kempen musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2024 @ 9:48 PM