AFP

London: Chelsea melantik Enzo Maresca dari Leicester sebagai ketua jurulatih baharu mereka, menurut laporan media British, awal pagi tadi.

The Daily Telegraph melaporkan bahawa pengendali dari Itali itu akan menyertai The Blues dengan kontrak selama lima tahun dengan pilihan lanjutan satu tahun lagi.

Ia bagi memberikan kestabilan kepada kelab selepas dua tahun pergolakan di bawah pemilikan baharu yang dipimpin oleh pelabur AS, Behdad Eghbali dan Todd Boehly.

Maresca, yang sehingga tahun lalu adalah pembantu Pep Guardiola bersama pasukan juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, membantu Leicester kembali ke EPL selepas tersingkir dari liga utama itu 12 bulan lalu.

ENZO Maresca. FOTO REUTERS
ENZO Maresca. FOTO REUTERS

Corak permainan diterapkan pengendali berusia 44 tahun itu juga dikatakan telah menarik minat kedua-dua pemilik Chelsea.

Kelab London itu sedang mencari pengurus baharu selepas berpisah dengan Mauricio Pochettino.

Beliau hanya berada di Stamford Bridge selama satu musim, dengan Thomas Frank dari Brentford dan Kieran McKenna, yang memimpin Ipswich naik ke liga utama di belakang Leicester, juga dikaitkan dengan kekosongan jawatan berkenaan.

Pochettino meninggalkan kelab itu selepas membantu Chelsea menduduki tempat keenam dalam Liga Perdana serta layak ke Liga Konferens Europa tetapi gagal memenangi trofi.

Chelsea tewas 0-1 kepada Liverpool selepas masa tambahan pada perlawanan akhir Piala Liga dan memberi saingan hebat kepada Manchester City sebelum tewas di separuh akhir Piala FA dengan jaringan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2024 @ 8:07 AM