YUSOFF pasukan khas akan melihat beberapa isu termasuklah membabitkan Setiausaha Agung. FOTO Ihsan Liga Bolasepak Amatur
YUSOFF pasukan khas akan melihat beberapa isu termasuklah membabitkan Setiausaha Agung. FOTO Ihsan Liga Bolasepak Amatur
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menubuhkan pasukan khas dalam usaha mengenal pasti punca sebenar hingga timbul beberapa isu dan rasa tidak puas hati seperti yang dinyatakan dalam surat layang baru-baru ini.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, pasukan khas akan mengambil kira luahan dan pendapat membabitkan kakitangan badan induk bola sepak negara itu termasuklah isu berkaitan Setiausaha Agung Noor Azman Rahman.

Beliau berkata, penubuhan pasukan yang akan diketuai Timbalan Presiden FAM Datuk S Sivasundaram dan akan mulakan tugasan dalam tempoh terdekat ini supaya dapat menyelesaikan isu berbangkit itu dengan segera.

"Kita akan ambil tindakan satu persatu iaitu pada peringkat awal akan beri laluan kepada jawatankuasa integriti sebelum menubuhkan pasukan khas.

"Pasukan khas akan melihat beberapa isu termasuklah membabitkan Setiausaha Agung. Kita akan mengambil pendekatan berkaitan isu kakitangan FAM dengan mendengar luahan mereka.

"Ada kakitangan mungkin tidak menyukai individu tertentu namun sebaliknya berlaku membabitkan orang lain. Setiap orang mempunyai karakter berbeza," katanya, dalam sidang majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman dan Kerjasama (MoU) di antara Super Football League (SFLI) dan Persatuan Bola Sepak Melayu Melaka (BARU), serta pelancaran Liga M5 Negeri Sembilan dan Melaka 2024, semalam.

Terdahulu, tular di media sosial 'surat layang' dalam bentuk e-mel yang membangkitkan isu kepimpinan dan pengurusan FAM.

Empat perkara utama yang dibangkitkan ialah penyalahgunaan kuasa oleh Setiausaha Agung FAM, gaji serta manfaat staf, isu membabitkan skuad Harimau Malaya dan projek Pusat Latihan Kebangsaan.

Kesemua dakwaan sekali gus menambah tekanan dan kehangatan sehari sebelum berlangsungnya Kongres Tahunan ke-60 FAM pada Isnin lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 10:08 PM