NOOR Azman sedia memaafkan pengirim surat layang yang memfitnahnya. FOTO ARKIB NSTP
NOOR Azman sedia memaafkan pengirim surat layang yang memfitnahnya. FOTO ARKIB NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Sasaran utama 'surat layang' dengan 15 salah laku iaitu Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman menerima fitnah berkenaan dengan hati terbuka.

Malah, Noor Azman sedia memaafkan biarpun tuduhan berkenaan adalah fitnah kerana tidak mahu individu terbabit meninggal dunia dalam keadaan menanggung dosa.

Jelasnya, beliau kecewa dengan tuduhan tidak berasas itu dan menyerahkan segala-galanya kepada FAM yang akan membuat laporan polis berhubung fitnah itu.

"Reaksi saya cuma satu kerana tohmahan itu banyak kepada saya, saya tak mahu komen dalam 10 malam terakhir Ramadan, tetapi saya maafkan apa sahaja tohmahan dan fitnah itu.

"Saya takut kalau dia kemalangan dan mati, tidak dapat cari saya di akhirat. Jadi kenyataan saya, saya memaafkan tohmahan dan fitnah yang dilemparkan kepada saya itu.

"Selebihnya, saya serahkan pada FAM," kata Noor Azman pada sidang media selepas Kongres FAM ke-60, semalam.

Dalam 'surat layang' dikirimkan oleh individu yang tidak dikenali kepada pengamal media itu, pihak berkenaan mendakwa Noor Azman tidak memenuhi tugas yang sudah diamanahkan sebagai Setiausaha Agung FAM dan dilihat lebih cenderung kepada aktiviti politik.

Noor Azman didakwa tidak memiliki idea untuk pengiklanan dan pemasaran dengan hanya mengharapkan kakitangan pemasaran untuk mencari duit dan membuat program yang tidak masuk akal.

Selain itu, beliau dikatakan menjual aset berupa barangan kelengkapan skuad Harimau Malaya dengan pihak luar secara senyap dan lain-lain.

Bagaimanapun, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menyifatkan dakwaan itu sebagai satu tohmahan dan menyerang peribadi.

Hamidin menegaskan dakwaan membabitkan isu rasuah dan salah guna kuasa Presiden dan Setiausaha Agung dilihat datang daripada seorang individu ataupun lebih yang memiliki rasa tidak puas hati dengan kepemimpinan tertinggi badan induk itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 5:12 PM