ISMAHEEL Akinade (tengah) meraikan jaringan gol ketika berdepan Penang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. -FOTO Ghazali Kori
ISMAHEEL Akinade (tengah) meraikan jaringan gol ketika berdepan Penang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. -FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner menuntut aksi lebih mantap diperagakan anak buahnya sebelum saingan Liga Super membuka tirainya pada 10 Mei depan.

Jelas jurulatih kelahiran Croatia itu, Kejohanan Empat Penjuru di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak perlu dijadikan medan terbaik buat pemain untuk membuktikan kemampuan masing-masing bagi memastikan skuad Penyu mampu 'berenang' lebih jauh lagi pada musim 2024/2025.

Katanya, ada beberapa aspek perlu diperbaiki segera yang dapat dikesan pada aksi pertama ketika berdepan Penang FC malam kelmarin biarpun menang 1-0 hasil jaringan penyerang baharu, Ismaheel Akinade.

"Saya gembira kerana berjaya menumpaskan pasukan Penang FC, tapi hanya satu gol dapat dihasilkan walaupun saya harap lebih gol lagi berdasarkan deretan peluang yang dapat dicipta.

"Apa yang saya dapat kesan ada beberapa salah faham ketika perlawanan itu. Tapi saya sedar kami ada tujuh pemain baharu dalam pasukan termasuk empat tonggak import, jadi ianya ambil masa untuk serasi sepenuhnya.

"Namun apa yang positif pemain berjaya mencipta banyak peluang, ini yang bagus selain bijak bertahan, tapi saya harap pemain akan lebih bagus lagi selepas ini," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan berdepan skuad Harimau Kumbang itu.

Terdahulu Steinbruckner hampir pasti tidak dapat menggunakan khidmat tiga pemain termasuk penyerang import, Ivan Mamut selain dua pemain tempatan iaitu Azam Azmi Murad dan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim akibat kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 2:11 PM