ISMAHEEL Akinade idam bantu TFC mara ke pentas Asia. FOTO TFC
ISMAHEEL Akinade idam bantu TFC mara ke pentas Asia. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas sah menjadi keluarga Terengganu FC (TFC), Ismaheel Akinade idam untuk membantu pasukannya beraksi di pentas Asia pada musim depan.

Jelas pemain kelahiran Nigeria itu, impian itu hadir selepas menyaksikan skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner mampu melangkah lebih jauh terutama berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah di peringkat kumpulan di pentas Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim ini.

Bagaimanapun pemain berketinggian 1.90 meter itu sedar dia perlu bersaing dengan tiga lagi penyerang skuad Penyu termasuk tonggak import kelahiran Croatia, Ivan Mamut selain Safawi Rasid dan Akhyar Rashid untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

"Sejujurnya saya begitu teruja untuk memulakan perjalanan karier di sini (Terengganu), selepas mendapat tawaran daripada TFC, sukar untuk menolaknya kerana kelab ini antara sebuah pasukan elit dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

"Aksi sebenar Liga M pada Mei ini bagaikan terasa panjang kerana saya bagaikan tidak sabar untuk membuat penampilan pertama bersama pasukan baharu ini.

"Namun apa yang diharapkan kedatangan saya ini mampu memberikan impak yang positif buat pasukan dan pada masa sama dapat menyesuaikan diri dengan cepat kerana lain jurulatih lain corak permainannya," ujar Akinade.

Ketika ditanya mengenai cabaran dalam kancah Liga M, pemain yang pernah beraksi bersama kelab Dhaka City FC dalam Liga Bangladesh dan Ho Chi Minh City FC dalam Liga Vietnam itu akui begitu mencabar.

"Namun selagi bersama TFC, kami perlu bermain sebagai satu pasukan dan berusaha memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan, perkara ini perlu ada dalam setiap pemain biarpun sedar cabaran berliku bakal ditempohi.

"Pada masa sama juga secara peribadi saya mahu mencipta seberapa banyak jaringan dan bantuan gol bagi memastikan TFC mampu melangkah lebih jauh lagi pada musim ini dengan sekurang-kurangnya merangkul satu trofi kejuaraan," ujar bekas pemain Kelantan FC dan Kelantan United musim lalu yang meledak lapan gol dalam saingan Liga Super.

Semalam, pemain berusia 30 tahun itu menjadi rekrut import keempat TFC pada musim ini selepas skuad itu hanya mengekalkan tiga pemain daripada sembilan importnya pada musim lalu iaitu Argzim Redzovic, Nurillo Tukhtasinov dan Mamut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 12:08 PM