STEINBRUCKNER pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
STEINBRUCKNER pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner menyifatkan kad merah kedua yang dilayangkan kepada pemainnya bagaikan 'membunuh' rentak permainan anak buahnya untuk bangkit memburu jaringan penyamaan ketika berdepan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi ke-14 Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, malam tadi.

Jelas pengendali kelahiran Croatia itu, berbaki 20 minit terakhir beraksi dengan sembilan pemain berbanding lawan 11 pemain, ia begitu sukar buat anak buahnya untuk bermain seperti biasa sebelum 'merelakan' satu lagi jaringan pada masa tambahan babak kedua ketika tumpas 1-3 kepada gergasi Liga Malaysia (Liga M) itu.

Jurulatih yang lebih mesra dipanggil 'Tommy' itu berkata, jika pemainnya tidak menerima dua kad merah pada babak kedua, sudah pasti mereka mampu menyaingi lawan kerana ketika itu pemainnya kerap mengasak kubu pelawat selain bijak bertahan dan menekan lawan.

Bagaimanapun, Steinbruckner pasrah dengan keputusan itu selain mengucapkan syabas kepada anak buahnya yang beraksi tanpa mengenal erti penat lelah dengan kerap melakukan asakan walaupun kekurangan dua pemain sebelum terpaksa akur tewas bermaruah.

"Secara keseluruhan saya begitu berpuas hati dengan corak permainan yang diperagakan pemain terutama pada 50 minit pertama, malah jaringan penyamaan juga diperoleh sebelum pengadil memberi kelebihan kepada pasukan JDT dengan sepakan penalti pada masa kecederaan separuh masa pertama yang disifatkan anak buah saya sebagai tidak wajar kerana situasi itu saya tidak nampak jelas.

"Ketika rehat, saya ingatkan mereka bahawa masa perlawanan masih panjang dan cuba kekalkan aksi semasa, saya sudah sediakan dua pemain simpanan, namun apabila Argzim Redzovic diperintahkan keluar padang selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-52, ia sedikit sebanyak merubah rentak permainan.

"Kad merah kedua dilayangkan kepada Ivan Mamut bagaikan 'mematikan' rentak permainan anak buah kami yang sebelum itu beraksi dengan cemerlang, agak sukar buat mana-mana pasukan bermain sembilan pemain dengan permainan berbaki 20 minit terakhir untuk menyaingi lawan, namun mereka tidak berputus asa sebaliknya terus memberikan saingan dengan kerap menyerang," jelas Steinbruckner ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Mengulas lanjut, pengendali berusia 57 tahun itu tanpa berselindung juga akui anak buahnya perlu perbaiki dan tingkatkan lagi corak permainan terutama di jentera tengah selain perlu memanfaatkan peluang terhidang dengan sentuhan jaringan.

"Bukan hanya kerana penalti dan kad merah sahaja kami tewas, namun banyak kesalahan berlaku dalam kawasan tengah menyebabkan kami hilang rentak, tambahan pemain juga banyak membuat kesalahan dari bahagian belakang, situasi ini harus segera diperbaiki untuk perlawanan seterusnya," jelas Steinbruckner.

Dalam pertemuan itu, pengadil, Mohd Fusser Mad Sallih menjadi sasaran kemarahan peminat setia skuad Penyu itu selepas dilihat kurang bijak mengendalikan perlawanan selain berat sebelah terutama berkaitan penalti yang diberikan kepada JDT selain kad merah hanya dilayangkan kepada Mamut ketika 'bertembung' dengan pemain lawan, Feroz Baharuddin.

Terdahulu penyerang JDT, Fernando Forestieri meledak jaringan pendahuluan sebelum pemain sayap TFC, Sony Norde menjaringkan gol penyamaan, penjaring terbanyak, Bergson Da Silva menghasilkan gol kedua pasukannya menerusi sepakan penalti sebelum Endrick Dos Santos menyumbat gol ketiga JDT seminit sebelum wisel penamat ditiupkan pengadil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2023 @ 2:56 PM