BINTANG Bayern Munich, Robert Lewandowski. FOTO AFP
BINTANG Bayern Munich, Robert Lewandowski. FOTO AFP
AFP

BINTANG Bayern Munich, Robert Lewandowski mahu meninggalkan kelab Bundesliga itu pada musim panas ini bagi memburu ‘cabaran baharu’ kata ejennya kepada akhbar Jerman, Sport Bild, hari ini.

“Robert merasakan dia perlu berubah dan mencari cabaran baharu dalam kariernya,” kata ejennya, Pini Zahavi. “Pengurus-pengurus di Bayern mengetahuinya.”

Lewandowski, 29, yang memiliki kontrak bersama Bayern sehingga 2021 dikaitkan dengan kelab Sepanyol, Real Madrid manakala kelab kaya raya Perancis, Paris Saint-Germain dan dua gergasi Inggeris, Chelsea dan Manchester United difahamkan turut berminat.

Dia adalah penjaring terbanyak Bundesliga musim lalu selepas menyumbat 29 gol.

Penghujung Februari lalu, pemain antarabangsa Poland itu tidak lagi bekerjasama dengan ejennya selama 10 tahun, Cezary Kucharski untuk bersama Zahavi, salah seorang ejen paling berkuasa dalam dunia bola sepak.

Zahavi berkata “motivasi Robert bukan disebabkan wang atau kelab-kelab tertentu kerana hampir kesemua kelab terkemuka mahu menandatangani penyerang terbaik dunia.”

Katanya, dia berharap Presiden Bayern, Uli Hoeness dan Ketua Pegawai Eksekutif, Karl-Heinz Rummenigge memahami kemahuan pemain berkenaan.

“Semua orang dalam kepimpinan di Bayern mempunyai karier yang hebat untuk diimbau. Mereka sepatutnya memahami situasinya,” katanya kepada Sport Bild.

Rummenigge memberitahu majalah Kicker pada awal bulan ini betapa peminat Bayern “tidak perlu bimbang mengenai Robert Lewandowski dan hubungannya dengan Bayern ... Kami mempunyai hubungan yang amat bagus.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mei 2018 @ 12:38 AM