BAYERN dilaporkan bakal melantik Kompany sebagai jurulatih baharu. FOTO REUTERS
BAYERN dilaporkan bakal melantik Kompany sebagai jurulatih baharu. FOTO REUTERS
AFP

Munich: Bayern Munich semakin hampir melengkapkan perpindahan mengejut untuk melantik bos Burnley, Vincent Kompany sebagai jurulatih menggantikan Thomas Tuchel, lapor media Jerman dan Inggeris malam tadi.

Menurut akhbar tabloid Jerman, Bild dan saluran televisyen Sky selain akhbar Inggeris, The Guardian, pengendali dari Belgium itu sudah bersetuju secara prinsipnya bersama Bayern.

Justeru, kelab Jerman itu kini mempersiapkan pakej pampasan buat Burnley berikutan Kompany masih memiliki baki kontrak selama empat tahun.

Burnley baru sahaja tersingkir dari Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas beraksi hanya satu musim dalam liga utama England itu.

Bayern setuju untuk berpisah dengan Tuchel pada Februari lalu selepas dia menyaingi juara baharu, Bayer Leverkusen dalam perebutan gelaran Bundesliga.

Kompany adalah calon terbaru dikaitkan dengan Bayern selepas senarai calon yang panjang.

Jurulatih Leverkusen, Xabi Alonso; bos skuad kebangsaan Jerman, Julian Nagelsmann dan pengurus Austria, Ralf Rangnick dilaporkan menolak minat ditunjukkan Bayern.

Bayern kemudian cuba memujuk Tuchel yang mengemudi mereka ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sebelum tewas kepada Real Madrid di separuh akhir.

Bagaimanapun, Tuchel berkata, kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan supaya dia terus kekal di ibu negara Bavaria itu.

Kompany turut mempunyai pengalaman di Bundesliga apabila beraksi di Hamburg sebelum menyertai Manchester City.

Beliau mengendalikan Burnley pada 2022 dan memastikan mereka layak ke EPL sebagai muncul juara Liga Kejuaraan, semusim kemudian.

Bagaimanapun, Kompany gagal mengekalkan Burnley di liga utama apabila sekadar menduduki tangga ke-19 daripada 20 pasukan dalam EPL.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 8:26 AM