PEMAIN Kedah kembali menjalani latihan di Stadium Sultan Abdul Halim. FOTO KDA FC
PEMAIN Kedah kembali menjalani latihan di Stadium Sultan Abdul Halim. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) akan kembali dengan semangat baharu bagi memastikan tidak lagi mencicirkan mata apabila melayan kunjungan Melaka United FC pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, esok.

Tiga mata yang wajib diraih Kedah yang kini jatuh di tangga ketiga Liga Super ketika pasukan seperti Negeri Sembilan FC dan Selangor FC sedang memberi saingan sengit.

Ketua jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak berkata, pemainnya perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri bagi memastikan tidak lagi terlepas memburu mata selepas mencicirkan mata ketika bertemu Selangor dan Sabah FC.

"Beraksi di laman sendiri pada bulan Syawal sudah pasti memberi tahap kecergasan dan keyakinan yang lebih baik buat semua pemain.

"Kedah perlu memanfaatkan setiap ruang yang ada di laman sendiri dalam usaha mendapatkan mata penuh kerana kerana aksi liga dijangka akan semakin sengit selepas bersambung pada minggu ini," katanya.

Aidil juga mahu penyokong Kedah hadir beramai-ramai ke Stadium Darul Aman bagi menujukkan kesetiaan dan kesungguhan mereka selain memberi kata-kata semangat buat pasukan.

"Faktor kehadiran penyokong menjadi antara elemen penting buat semua pemain bagi meningkatkan juara mereka dalam usaha memburu kemenangan.

"Saya menghormati penyokong yang tetap setia hadir serta mendoakan kejayaan pasukan selama ini, malah pemain juga menantikan sorakan semangat penyokong yang lebih padu pada musim ini berbanding musim lalu," katanya.

KDA FC kini berada di kedudukan ketiga Liga Super dengan memungut 12 mata selepas mengharungi enam perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 12:38 PM