DUA pemain import KDA FC Renan Alves (kiri) dan Kpah Sherman bersemangat menjalani latihan persiapan untuk menentang Selangor FC di Stadium Darul Aman esok malam. FOTO Ihsan KDA FC
DUA pemain import KDA FC Renan Alves (kiri) dan Kpah Sherman bersemangat menjalani latihan persiapan untuk menentang Selangor FC di Stadium Darul Aman esok malam. FOTO Ihsan KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tidak harus melepaskan peluang untuk mendapatkan pungutan mata dalam memulakan kembali aksi saingan Liga Super apabila menerima kunjungan Selangor FC di Stadium Darul Aman esok malam.

Ketua Jurulatih KDA FC Aidil Sharin Sahak berkata, skuadnya yang sebelum ini menjalani lima aksi yang ditangguhkan, perlu memanfaatkan peluang yang ada untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata sebagai pembakar semangat dalam usaha mengekalkan momentum skuadnya selepas kali terakhir menewaskan Sabah FC 1-0 pada 8 Mei lalu.

"Sebarang kutipan mata pada perlawanan 'pertama' ini sangat penting dalam usaha KDA FC untuk membina keyakinan serta motivasi bagi meneruskan baki lapan lagi perlawanan untuk dilengkapkan selepas ini.

"Kita perlukan memulakan kembali saingan liga musim ini dengan sekurang-kurangnya satu mata dan jika boleh dapat tiga mata, maka itu adalah bonus untuk kita sebagai pembakar semangat.

"Namun sebagai pasukan yang agak lama tidak beraksi, KDA FC tetap akan berwaspada dengan sebarang percaturan yang akan dilakukan, tambahan pula Selangor bukan satu pasukan yang mudah dijinakkan dan kita perlu berhati-hati." katanya.

Walaupun pemain mungkin merasa sedikit lega kerana beraksi di laman sendiri, Aidil menganggap perkara itu bukan alasan untuk merasa selesa tanpa kerja keras dan komitmen yang diperlukan sepanjang perlawanan dalam usaha memburu kemenangan.

"Tiada istilah selesa setiap kali turun beraksi di laman sendiri, dan semestinya kita perlukan fokus yang lebih tinggi bagi memulakan semula aksi perlawanan menentang Selangor FC yang kita nantikan ini.

"Apa-apa pun boleh berlaku jika pemain cuai dan mengambil mudah dalam setiap keadaan dan pastinya semua pihak lawan sentiasa mahu mengambil peluang diatas kesilapan kita.

"Jadi saya harap semua pemain dapat menyerap setiap cabaran dan tekanan yang ada dan berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan momentum yang kami perlukan memandangkan banyak lagi perlawanan yang bakal dihadapi selepas ini." katanya.

Pertemuan kali terakhir membabitkan KDA FC dan Selangor FC pada musim ini menyaksikan skuad Hijau Kuning berjaya menewaskan Red Giants di tempat lawan dengan keputusan 2-1 pada 6 April lalu.

KDA FC kini menghuni tangga keempat dengan mengumpul 26 mata melalui 13 perlawanan sementara Selangor FC yang berada pada tangga kelima, turut berkongsi mata yang sama selepas melengkapkan 17 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 3:08 PM