NOORUL Ariffin (kanan) menziarahi Apandi yang ditidurkan di Hospital USM, Kubang Kerian pada 27 April lalu. FOTO YAKEB
NOORUL Ariffin (kanan) menziarahi Apandi yang ditidurkan di Hospital USM, Kubang Kerian pada 27 April lalu. FOTO YAKEB
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Selepas hampir sebulan Apandi Yusof dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) Kubang Kerian, bekas pemain bola sepak Kelantan era 1970-an itu sudah mampu memberi tindak balas.

Apandi, 73, dimasukkan ke hospital pada 18 April lalu selepas ditemukan tidak sedarkan diri di rumah sebelum doktor mengesahkan beliau mengalami jangkitan kuman di paru-paru dan terpaksa ditidurkan.

Isterinya, Anita Yusof, 61, berkata, sejak beberapa hari lalu suaminya sudah sedarkan diri dan mampu memberi respon jika dipanggil.

"Dia masih dirawat di ICU dan bernafas menggunakan alat bantuan pernafasan, namun ada perkembangan baik kerana sudah mula sedar.

"Dia mampu mengangguk dan menggeleng serta gerakkan jari, tapi masih belum dapat bercakap kerana memakai tiub saluran oksigen," katanya ketika dihubungi.

Anita berkata, kelmarin suaminya menjalani ujian Pengimejan resonans magnetik (MRI) untuk mengesan keadaan kepalanya susulan terjatuh sebelum tidak sedarkan diri pada 18 April lalu dan mereka sekeluarga masih menunggu keputusan ujian itu.

Menurutnya, oksigen Apandi akan dikurangkan dari semasa ke semasa bergantung kepada kemampuannya untuk bernafas sendiri tanda bantuan mesin pernafasan.

"Memang doktor ada memberitahu agak memakan masa untuk pulih, tapi perkembangan baik setakat ini pun sudah cukup melegakan kami sekeluarga," katanya.

Sebagai rekod, bekas penyerang Harimau Malaya yang bergiat hampir separuh abad dalam arena bola sepak itu pernah menyertai Sukan Sea di Kuala Lumpur pada 1971.

Pada 27 April lalu, Apandi menerima kunjungan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) yang diwakili pengerusinya, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2024 @ 10:19 PM