FADHLI dilantik sebagai kapten Sri Pahang FC bagi musim 2024/25. FOTO SRI PAHANG
FADHLI dilantik sebagai kapten Sri Pahang FC bagi musim 2024/25. FOTO SRI PAHANG
Asrol Awang


Kuantan: Fadhli Shas berterima kasih di atas kepercayaan diberikan pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad apabila dilantik sebagai kapten skuad itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Pemain pertahanan itu berkata, amanah dan tanggungjawab itu akan dilaksanakan dengan sebaiknya untuk meletakkan skuad Tok Gajah berada di kedudukan tiga teratas Liga Super.

"Alhamdulillah, terima kasih kepada barisan kejurulatihan khususnya ketua jurulatih (Fandi) yang memberikan kepercayaan kepada saya sebagai ketua pasukan.

"Dengan sokongan dan kerjasama diberikan rakan sepasukan, saya percaya Sri Pahang yang menggabungkan pemain lama dan baharu musim baharu ini mampu mencapai kejayaan lebih baik berbanding musim lalu.

"Tiada yang mustahil untuk melakukannya jika semua pemain mempamerkan semangat juang dan memberikan komitmen tinggi untuk meletakkan Sri Pahang menamatkan saingan Liga Super pada kedudukan tiga terbaik.

"Pada masa sama, sokongan padu diberikan pengurusan SPFC (Kelab Bolasepak Sri Pahang) dan peminat Tok Gajah akan meningkatkan semangat kami untuk melakukan yang terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 8:39 PM