FANDI sedia fokus pembentukan skuad lebih mantap.
FANDI sedia fokus pembentukan skuad lebih mantap.
Asrol Awang


Kuantan: Sri Pahang FC dijangka memulakan latihan pertama sebagai persediaan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025 minggu ini tanpa skuad lengkap.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC), Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, skuad kendalian Fandi Ahmad itu juga bakal berlatih tanpa pemain import.

"Skuad Tok Gajah akan berlatih minggu ini tetapi senarai pemain belum lengkap termasuk ketiadaan pemain import. Kita harap latihan pertama ini dapat membantu terutama memberi penekanan kepada kecergasan selepas Liga M berakhir Disember lalu.

"SPFC percaya ketua jurulatih (Fandi) sudah bersedia memberikan fokus dalam membentuk skuad lebih mantap musim baharu ini biarpun senarai penuh pemain belum diumumkan.

"Kelab mengharapkan pencapaian lebih baik diraih Sri Pahang berbanding tempat kelima Liga Super musim lalu," katanya.

Ketika ini, skuad Tok Gajah sudah mengumumkan secara rasmi beberapa pemain yang menyarung jersi Sri Pahang. Antara pemain diumumkan ialah Sergio Aguero, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Syazwan Andik dan Zarif Irfan Hashimuddin.

Tiga pemain muda turut dipertaruhkan pada musim baharu ialah Mohamad Saiful Jamaluddin, Syaahir Saiful Nizam dan Nasyrullah Zaki.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 10:31 PM