SESI latihan terakhir Izham Tarmizi bersama skuad Sri Pahang FC di Kuantan, semalam. -FOTO Sri Pahang FC
SESI latihan terakhir Izham Tarmizi bersama skuad Sri Pahang FC di Kuantan, semalam. -FOTO Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Penjaga gol berpengalaman, Izham Tarmizi Roslan secara rasmi tidak lagi bersama Sri Pahang FC bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Pengumuman itu menerusi hantaran Facebook rasmi Sri Pahang FC yang mengesahkan bahawa semalam adalah sesi latihan terakhir bekas penjaga gol kebangsaan itu bersama skuad Tok Gajah.

"Sesi terakhir untuk penjaga gol kami, terima kasih Izham Tarmizi. Pergi dengan rasa syukur dan memori yang tidak terkira. Semoga terus mengorak langkah gemilang dalam karier."

Berdasarkan beberapa keping gambar, Izham Tarmizi mengambil kesempatan bersalaman dan berpelukan bersama rakan sepasukan sebagai tanda perpisahan.

Izham Tarmizi akan kembali ke pangkuan Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas dipinjamkan selama semusim oleh JDT musim lalu.

Sepanjang semusim bersama Sri Pahang, pemain kelahiran Terengganu itu membantu skuad Tok Gajah menamatkan saingan Liga Super di kedudukan kelima.

Ketiadaan bekas penjaga gol kebangsaan itu menyaksikan Sri Pahang kini hanya memiliki dua penjaga gol iaitu Zarif Irfan Hashimuddin dan Azfar Arif Mohd Sukri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 1:35 PM