PENJAGA gol Sri Pahang FC, Izham Tarmizi Roslan. FOTO ARKIB NSTP
PENJAGA gol Sri Pahang FC, Izham Tarmizi Roslan. FOTO ARKIB NSTP
Asrol Awang


Kuantan: Penjaga gol Sri Pahang FC, Izham Tarmizi Roslan akan memastikan skuad itu membawa pulang tiga mata apabila berdepan Penang FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, Ahad ini.

Izham Tarmizi berkata, kekalahan mengejut 2-3 kepada PDRM FC pada 8 November lalu, diharap tidak diulangi biarpun skuad Tok Gajah beraksi di tempat lawan.

"Kami perlu memanfaatkan baki tiga perlawanan Liga Super bermula dengan Penang FC kerana selepas itu akan berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kuala Lumpur (KL) City FC.

"Kami tidak boleh terlepas mata jika mahu berada pada kedudukan lima terbaik musim ini.

"Pada masa sama, kami masih berpeluang untuk berada antara kedudukan ketiga dan keempat liga," kata bekas penjaga gol kebangsaan itu.

Ditanya peluang mengutip tiga mata itu, Izham Tarmizi berkata, skuad Tok Gajah tidak boleh terlalu yakin dan memandang mudah perlawanan itu.

Katanya, ini kerana prestasi Penang dilihat semakin meningkat dan mereka perlu mengekalkan fokus sepanjang 90 minit perlawanan.

Selepas 23 perlawanan, Sri Pahang berada di kedudukan kelima dengan 44 mata, tetapi masih berpeluang untuk berada pada kedudukan lebih baik jika konsisten pada baki tiga perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 9:06 PM