PEMAIN skuad B-23 negara memulakan kem latihan di Wisma FAM, semalam. FOTO FB FAM
PEMAIN skuad B-23 negara memulakan kem latihan di Wisma FAM, semalam. FOTO FB FAM
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil pendekatan secara realistik mengenai peluang pasukan Bawah 23 Tahun (B-23) di Piala Asia B-23 di Qatar untuk layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, beliau mengharapkan skuad kendalian Juan Torres Garrido memberi tumpuan terlebih dahulu kepada perlawanan peringkat kumpulan agar dapat melangkah ke pusingan seterusnya.

Beliau menyedari peluang serta kekuatan pasukan yang bertanding termasuk kuasa besar seperti Jepun, Korea Selatan dan Arab Saudi.

Disebabkan itu, katanya, sukan bola sepak tidak diletakkan dalam sasaran untuk layak ke Paris 2020, bermula Julai depan dan jika layak, itu satu bonus sangat besar buat pasukan kerana Sukan Olimpik ibarat Piala Dunia untuk B-23.

"Sembilan ke 10 pemain (dalam pasukan Jepun, Korea Selatan dan Arab Saudi) bermain di Piala Dunia. Ini kelebihan yang ada pada pasukan mereka.

"Ketika ini, saya mengharapkan mereka memberi fokus untuk mencatat keputusan terbaik dan layak ke pusingan kedua terlebih dahulu.

"Berdasarkan kiraan saya sebagai Presiden FAM, pasukan bola sepak tiada dalam sasaran layak ke Paris 2024. Kalau layak bawah 23 (B23) dah dikira satu pencapaian yang baik," katanya.

Piala Asia B-23 di Qatar, bulan depan, menawarkan slot ke Paris 2024 apabila tiga pasukan teratas layak secara automatik sementara tempat keempat akan ke aksi playoff menentang wakil Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF).

Bagi memastikan anak buah Garrido benar-benar bersedia sebelum perlawanan pada bulan depan, FAM sudah mengatur beberapa perlawanan persahabatan termasuk menentang India di Malaysia dan beberapa pasukan lagi di Qatar.

"Skuad B-23 akan tiba dua minggu awal di Doha. Mereka akan berdepan aksi persahabatan dengan Qatar dan China serta satu lagi pasukan yang tiba awal di Doha," kata Hamidin.

Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait dengan mereka akan membuka kempen berdepan Uzbekistan pada 17 April depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2024 @ 6:32 PM