SKUAD B-23 negara gigih menjalani latihan menjelang Piala Asia B-23. FOTO FAM
SKUAD B-23 negara gigih menjalani latihan menjelang Piala Asia B-23. FOTO FAM
Amirul Fazli Zulkafli

Kuala Lumpur: Skuad kendalian Juan Torres Garrido akan memulakan saingan memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 di saingan Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) bertemu Uzbekistan di Stadium Antarabangsa Khalifa pada 17 April tahun hadapan.

Berdasarkan jadual perlawanan dimuat naik di Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini, skuad negara berhadapan tugas getir perlawanan pertama apabila berdepan pasukan naib juara edisi sebelum ini untuk mendapatkan tiga mata penting.

Selang tiga hari kemudian, Malaysia akan bertemu Vietnam di stadium sama, sebelum menentang Kuwait di Stadium Saqud Bin Abdul Rahman pada 23 April untuk melengkapkan jadual perlawanan peringkat Kumpulan D.

Dua pasukan teratas layak ke suku akhir bertemu juara/naib juara Kumpulan C pada 26 April 2024.

Bermula dari sekarang, Garrido sudah boleh merangka perjalanan di saingan Piala Asia B-23 nanti memandangkan jadual penuh perlawanan sudah ada.

Bermain di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) mungkin menjadi satu lagi cabaran buat skuad muda negara mendapatkan pemain terbaik kerana ia memerlukan budi bicara setiap pasukan melepaskan pemain mereka.

Terdahulu, pengurus skuad B-23 negara, Datuk Seri Shahril Mokhtar dilaporkan melihat peluang untuk melangkah ke pusingan seterusnya dalam saingan Piala Asia B-23 lebih terbuka selepas terlepas daripada kumpulan maut.

Untuk rekod, tiga pasukan terbaik di Piala Asia itu nanti akan meraih slot ke Paris 2024 yang dijadual berlangsung Julai depan.

Manakala pasukan tempat keempat perlu melalui playoff menentang wakil Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF) untuk merampas tiket ke Olimpik.

Selain Kumpulan D, tiga lagi kumpulan dilihat cukup sengit apabila Qatar, Australia, Jordan dan Indonesia berada dalam Kumpulan A.

la mengisi Kumpulan B sementara Arab Saudi, Thailand, Iraq dan Tajikistan di Kumpulan C.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2023 @ 9:14 PM