HAMIDIN letakkan sasaran ke suku akhir Piala Asia B-23. -FOTO NSTP
HAMIDIN letakkan sasaran ke suku akhir Piala Asia B-23. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tetap meletakkan harapan tinggi kepada skuad bawah 23 tahun (B-23) negara untuk melangkah sekurang-kurangnya ke suku akhir kejohanan Piala Asia B-23 April tahun depan.

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama barisan kejurulatihan skuad B-23 bagi memastikan pasukan muda mampu meraih keputusan positif walaupun bakal bertemu gergasi Asia.

Beliau berkata, skuad B-23 kemungkinan akan berkampung terlebih dahulu di Doha, Qatar dengan mengadakan perlawanan persahabatan bersama pasukan tempatan sebelum mengharungi kejohanan besar itu.

"Saya sudah cakap dengan pasukan iaitu kita tidak akan menyerah kalah kerana pasukan ini bagus dengan beberapa penambahan pemain baharu sudah pastinya akan lebih kuat lagi.

"Kemungkinan Januari atau Februari tahun depan akan hantar ke luar negara. Secara keseluruhan, 16 pasukan bertanding dan tiga daripadanya layak secara automatik ke Olimpik Paris.

"Skuad B-23 negara ini tidak jauh perbezaannya dengan lawan lain. Situasi itu tidak sama dengan skuad Harimau Malaya sekali gus mampu memberi tentangan kepada pasukan lain kelak," katanya.

Mengikut rekod, skuad kendalian Juan Torres Garrido mungkin boleh melangkah lebih jauh dalam saingan Piala Asia B-23 di Qatar April tahun depan selepas diundi dalam kumpulan yang agak seimbang.

Menerusi majlis undian di Qatar semalam, skuad muda negara itu diundi dalam Kumpulan D bersama Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait.

Untuk rekod, tiga pasukan terbaik di Piala Asia itu nanti menyaksikan akan meraih slot ke Sukan Olimpik Paris yang dijadual berlangsung Julai depan.

Manakala pasukan tempat keempat pula perlu melalui play-off menentang wakil Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF) untuk merampas tiket ke Olimpik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 2:18 PM