KEJOHANAN bola sepak akar umbi anjuran sebuah kelab di Seremban, baru-baru ini. FOTO Ihsan NSFC.
KEJOHANAN bola sepak akar umbi anjuran sebuah kelab di Seremban, baru-baru ini. FOTO Ihsan NSFC.
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Meskipun tumpuan utama terhadap persiapan menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim 2024-2025 bakal membuka tirainya bulan depan, namun Negeri Sembilan FC (NSFC) tetap tidak mengenepikan program pembangunan akar umbi.

Liga Suparimau 2024 yang membabitkan saingan peringkat umur bawah 8, 10, 12, 14 dan 16 tahun akan menyaksikan lebih 50 pasukan dari Negeri Sembilan bersaing bermula bulan depan.

Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan merangkap Naib Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Mustapha Nagoor berkata, penganjuran Liga Suparimau 2024 adalah bagi menyokong inisiatif daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Umum sedia maklum Liga Suparimau merupakan inisiatif dari FAM untuk merancakkan pembangunan akar umbi bola sepak tempatan.

"PBNS komited untuk menyokong inisiatif FAM, terutamanya dalam melahirkan pemain berbakat di peringkat akar umbi untuk masa hadapan bola sepak negeri dan negara.

"Justeru, kita akan teruskan penganjuran liga ini dan akan diperhebatkan lagi dengan penglibatan NSFC sebagai penggerak utama," katanya di sini, hari ini.

Menurut beliau, PBNS akan membantu dari segi penyediaan fasiliti, keperluan kepengadilan dan tenaga kerja.

Katanya, pihaknya ingin meningkatkan lagi mutu bola sepak di Malaysia khususnya di Negeri Sembilan.

"Kita juga inginkan pemain di peringkat akar umbi merasai suasana pertandingan yang kompetitif. Ini penting untuk mengukuhkan asas bola sepak anak-anak ini," katanya.

Mustapha berkata, dengan suasana bola sepak hari ini yang semakin sengit, pembangunan bakat muda yang berterusan perlu dilakukan.

"Inisiatif yang dijalankan oleh PBNS dan NSFC dalam menggunakan segala peluang yang telah disediakan oleh FAM bakal memperkukuhkan industri bola sepak di negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2024 @ 4:41 PM