Subahan Kamal (belakang, lima kiri) bersama legenda bolasepak negara serta peserta ACF Grassroot Football. FOTO Owee Ah Chun.
Subahan Kamal (belakang, lima kiri) bersama legenda bolasepak negara serta peserta ACF Grassroot Football. FOTO Owee Ah Chun.
Firdaus Hashim


DEMI memastikan pembangunan di peringkat akar umbi tidak terjejas, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampil melancarkan piagam akar umbi yang dinamakan PIAGAM SUPARIMAU FAM bagi memastikan lebih ramai bakat-bakat muda dicungkil dan menyarung jersi negara.

Malah, inisiatif ini juga sejajar dengan Peta Hala Tuju F: 30 2019-2030 di mana setiap Kelab bola sepak komuniti dan rekreasi serta mana-mana akademi boleh menggunakan piagam ini bagi meletakkan mereka di landasan tepat dalam peringkat akar umbi.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, kreditasi dan penilaian ini bertujuan untuk menyeragamkan proses pembangunan akar umbi dan meningkatkan standard dalam bola sepak, menyokong pembangunan, pertandingan serta mengenali, memberi ganjaran komitmen dan pencapaian.

"Penting buat kami memberi ruang untuk kanak-kanak yang datang dari semua lapisan masyarakat di sini.

Dengan ini saya juga menekankan tiada istilah untuk kekurangan bakat yang mana matlamat kami di FAM adalah untuk mengembangkan serta mengasah kemahiran mereka secara kerja berpasukan menerusi kemahiran latihan demi masa depan, kerjaya mereka dalam arena bola sepak menerusi akademi yang diiktiraf.

"Piagam ini adalah piawaian penanda kualiti yang mengukur standard dalam beberapa bidang seperti penyertaan (untuk kanak-kanak perempuan dan kanak-kanak lelaki).

"Justeru saya berharap dengan ini lebih ramai bakat muda dapat dilahirkan dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui pada program Piagam SUPARIMAU FAM di Kompleks Sukan PKNS di Petaling Jaya, hari ini.

Dalam perkembangan sama, setiap kelab bola sepak komuniti dan rekreasi serta akademi wajib mencapai standard tertentu jika ingin mendapatkan akreditasi.

Mereka mesti memenuhi kriteria spesifikasi yang ditetapkan mengikut tahap kategori dipohon antaranya kepimpinan, perancangan, kemudahan, perlawanan peringkat akar umbi dan pendidikan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 9:20 PM