REEZAL Merican (dua dari kanan) beramah mesra dengan pemain Liga SupeRimau semalam. FOTO Bernama
REEZAL Merican (dua dari kanan) beramah mesra dengan pemain Liga SupeRimau semalam. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mahu melihat lebih banyak Persatuan Sukan tanah air mencontohi inisiatif dilakukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang melancarkan kejohanan akar umbi Liga SupaRimau.

Jelasnya, langkah itu dilihat tepat dalam memastikan usaha mencungkil bakat-bakat cilik dikenal pasti dan diasah sehingga mampu mewakili negara suatu hari nanti.

"Tahniah kepada FAM atas pelancaran Liga SupaRimau, bagi saya ini satu kejayaan yang amat penting dalam pembangunan ekosistem bola sepak.

"Apabila ada liga yang membabitkan di peringkat akar umbi daripada umur enam hingga 16 tahun, ia akan memberi peluang dan ruang yang lebih jelas kepada pembangunan bola sepak secara lebih menyeluruh.

"Saya fikir model yang diperkenalkan oleh FAM ini adalah salah satu inisiatif yang bagus juga untuk di guna pakai oleh sukan-sukan yang lain dalam mengenal pasti bakat-bakat," katanya.

Kelmarin, buat pertama kalinya FAM melancarkan pertandingan peringkat akar umbi yang diberi nama Liga SupeRimau FAM membabitkan hampir 300 buah pasukan yang terdiri daripada akademi-akademi bola sepak di seluruh negara.

Liga SupeRimau FAM itu bakal menyaksikan penyertaan pemain cilik lelaki mahupun perempuan dari peringkat umur enam tahun hingga 16 tahun dengan kempen dijadualkan bermula pada 12 dan 13 Jun ini.

Mengulas perkembangan sama, Reezal mengakui kewujudan Liga SupaRimau akan merancakkan lagi pencarian bakat bola sepak terbaik di seluruh negara, disamping membuka laluan kedua buat pemain remaja selepas wujudnya Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).

"Sekarang kita ada satu lagi laluan iaitu SupaRimau yang juga boleh mengenengahkan bakat-bakat untuk di bawa dan diketengahkan kepada FAM untuk menjadi pemain yang dapat beraksi untuk negara nanti.

Kelompok pemain akan bertambah lebih luas dan pendekatan yang lebih bersepadu dengan adanya SupaRimau ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 1:57 PM