DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO NSTP
DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO NSTP
Izzali Ismail


Alor Setar: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengulangi pendirian dan polisi kerajaan negeri bahawa duit kerajaan negeri tidak akan digunakan bagi membiayai gaji pemain bola sepak serta masalah berkaitan kelab, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang sudah diswastakan.

Sanusi yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berkata, bantuan kepada kelab bola sepak hanya disalurkan melalui KFA selaku badan bola sepak negeri di mana KFA juga telah membantu dengan menyumbang RM16 juta kepada KDA FC sejak kelab itu ditubuhkan.

"Saya tak guna duit kerajaan untuk bayar gaji bola sepak, sama juga tak guna duit kerajaan negeri untuk bayar gaji kerja dalam syarikat.

"Selama ni kita bantu KDA FC melalui KFA. Dari mula KDA FC ditubuhkan sampai sekarang ni, KFA sudah bantu KDA FC sebanyak RM16 juta, ingat sikit ka? dan lepas tu ada yang kata kita tak tolong.

"Polisi itu sangat mudah. Duit bola kita cari duit lain. KFA ada dan sudah tolong dengan jumlah RM16 juta sejak dulu dan sampai la ni pun masih lagi tolong. Jumlah diberi pun juta la bagi baru ni, tapi saya tak mau bising," katanya ketika mengulas mengenai masalah baki tunggakan gaji yang belum diselesaikan KDA FC setakat ini yang mencetus kebimbangan penyokong Kedah.

Sanusi berkata, jumlah yang sudah disalurkan kepada KDA FC sebanyak RM16 juta itu ialah jumlah yang besar dan dikira mampu memberi manfaat sekiranya diberikan kepada golongan yang lebih memerlukan seperti anak yatim.

"RM16 juta kalau diberi kepada anak yatim macam ni cuba bayangkan tengok, kalau kita banding dengan kegunaan untuk bola mana lebih afdal? tentulah anak yatim," katanya.

Pada masa yang sama, Sanusi juga turut melahirkan kebimbangan atas sikap penaja yang mungkin akan merasa terkesan untuk menaja disebabkan KFA pernah disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Januari lalu.

"Bola ni kalau kita cari duit nanti SPRM mai cekup (tangkap), yang tu pun saya hangat hati jugak. Di seluruh dunia ni semua persatuan bola sepak dan sukan cari sumbangan, macam-macam cara la orang mai menyumbang dan tu pun depa mai cekup kita.

"Kalau nak bermain politik juga dalam sukan, itu yang susah dan boleh membunuh bola sepak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2024 @ 5:15 PM