Muhamad Sanusi (tiga dari kiri) bergambar bersama penaja selepas merasmikan penganjuran liga bola sepak tempatan Widad K-League. FOTO Izzali Ismail
Muhamad Sanusi (tiga dari kiri) bergambar bersama penaja selepas merasmikan penganjuran liga bola sepak tempatan Widad K-League. FOTO Izzali Ismail
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman mahu menukar suasana suram arena bola sepak sejak dua tahun lalu dengan memenuhi kalendar tahun ini melalui penganjuran liga bola sepak tempatan yang dikenali sebagai Widad K-League 2022 yang akan bermula pada 26 Februari ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor berkata, KFA telah menjadikan

penganjuran Widad K-League 2022 ini sebagai agenda utama pihaknya tahun ini kerana bola sepak adalah sukan nombor satu dan menjadi kegemaran rakyat Kedah.

"Widad K-League 2022 merangkumi lima kejohanan bola sepak bermula dengan kejohanan Piala Remaja KFA (KFA Junior Cup) untuk kategori pasukan bawah-12 tahun yang akan memulakan saingan pada 26 Februari ini diikuti empat lagi acara yang akan berlangsung pada tahun ini iaitu Piala Menteri Besar Kedah, Piala KFA, Liga Futsal KFA dan Kejohanan Bola Sepak Pantai (KFA Beach Soccer).

"Acara sukan bola sepak ini amat penting untuk menjadi platform bukan sahaja kepada dari aspek pembangunan para pemain, kejurulatihan, pengadilan dan pegawai-pegawai terbabit, malah ia juga dapat mengaktifkan keseluruhan penggiat bola sepak di negeri Kedah.

"Saya yakin dengan dengan semua acara kejohanan yang akan dianjurkan dalam Widad K-League 2022 ini, dapat memeriahkan semula kesuraman sukan bola sepak di Kedah selama ini." katanya pada pelancaran acara tahunan KFA itu semalam.

Sanusi juga berharap dengan berlangsungnya penganjuran Widad K-League 2022 ini, negeri Kedah mampu melahirkan lebih ramai bakat baharu yang bakal mewarnai sukan bola sepak Kedah di peringkat profesional pada suatu hari nanti.

Pengajuran liga tempatan ini mendapat penajaan daripada Widad Business Group selaku penaja utama, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Lotto serta agensi-agensi kerajaan.

Sementara itu, Sanusi turut memaklumkan skuad Kedah Darul Aman FC (KDA FC) atau skuad Sang Kenari menjadi tumpuan beberapa syarikat swasta yang berminat menaja mereka diatas reputasi pasukan itu mencatatkan pencapaian terbaik selaku naib juara Liga Super musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 2:00 PM