SAFEE Sali. -FOTO NSTP
SAFEE Sali. -FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemenang kasut emas Piala AFF 2010, Safee Sali menyarankan agar skuad Harimau Malaya tidak lagi menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebagai venue utama di peringkat antarabangsa selagi isu padang tidak ditangani dengan sebaiknya.

Menurut bekas penyerang Harimau Malaya itu, permukaan padang yang mudah tercabut seperti mana yang berlaku ketika aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman bulan lalu perlu diambil serius semua pihak.

Katanya, keadaan padang yang teruk itu bukan saja mengganggu rentak permainan malah ia turut mengundang bahaya kecederaan dan Azam Azmi Murad antara mangsa itu.

"Mungkin ada sesetengah pihak yang tidak bersetuju dengan apa yang saya cakap ini. Perkara ini berkaitan padang. Kita sudah pun maklum padang memang sangat teruk."

"Mana boleh main padang macam tu. Padang terangkat dan bila pemain pergi untuk betulkan padang itu, bagi saya itu bukan padang yang sesuai untuk pasukan nasional bermain."

"Bukan saya nak mempersoalkan tetapi sudah berama lama tidak selesai-selesai lagi. Pemain kita Azam Azmi, baru bermain 25 minit sudah pun mengalami kecederaan. Perkara ini mesti dibetulkan sekarang juga.

"Orang mungkin akan cakap Oman juga bermain pada padang yang sama tetapi kita tidak mendapat kelebihan beraksi selaku tuan rumah.

"Sepatutnya pada perlawanan itu Oman yang menghadapi kesukaran. Jangan tutup cerita pasal padang," katanya di saluran YouTube miliknya sendiri, Sports Tarik.

Selepas ini, skuad kendalian Kim Pan-gon dijadual menggunakan SNBJ untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Taiwan pada Jun ini.

Begitupun, peminat bola sepak tempatan melahirkan kebimbangan kerana dua minggu sebelum aksi dengan Taiwan itu, SNBJ bakal menganjurkan konsert artis dari India, Harris Jayaraj sekali gus masalah padang dilihat tidak akan menemui penamatnya.

Sementara itu, Perbadanan Stadium Nasional (PSM) menerusi satu kenyataan media memaklumkan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengeluarkan moratorium jangka pendek untuk menghalang sebarang pemasangan struktur pentas yang melibatkan persediaan konsert di atas rumput sehingga kondisi rumput mencapai tahap yang baik.

Jelas Hannah, penganjur konsert masih boleh membuat tempahan namun sebarang struktur pentas dan menara bunyi adalah dilarang di atas padang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2024 @ 2:32 PM