SNBJ menjadi venue konsert berskala mega baru-baru ini membabitkan artis antarabangsa Ed Sheeren. -FOTO Facebook Zainuddin MJ
SNBJ menjadi venue konsert berskala mega baru-baru ini membabitkan artis antarabangsa Ed Sheeren. -FOTO Facebook Zainuddin MJ
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon bagaikan hilang kata-kata selepas melihat keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang bakal menjadi gelanggang untuk perlawanan keempat Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ 2027 Piala Asia menentang Oman pada 26 Mac.

Hal ini kerana, jurulatih berasal dari Korea Selatan itu yang mengadakan lawatan di venue berkenaan kelmarin mendapati keadaan padang tidaklah sempurna seperti diharapkan.

Walaupun begitu, Pan-gon sedikit lega apabila konsultan yang dilantik Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memberi jaminan bahawa padang akan berada dalam keadaan terbaik dalam tempoh dua minggu akan datang.

"Bagaimanapun kakitangan teknikal di stadium itu berkata mereka yakin bahawa padang itu akan berada dalam keadaan baik, menjelang 26 Mac.

"Saya amat kecewa, tetapi beliau (kakitangan teknikal) beritahu kepada kami yang pasukan kami tidak akan bermain esok," katanya.

Sebelum ini, SNBJ sekali lagi menjadi venue konsert berskala mega baru-baru ini membabitkan artis antarabangsa Ed Sheeren sekali gus ia telah melewati satu fasa yang membimbangkan mengenai persiapan Malaysia menghadapi saingan Kelayakan Piala Dunia/ Piala Asia berdepan Oman.

Masalah permukaan padang SNBJ ternyata memberi pandang negatif buat penyokong bola sepak tanah air apabila aksi final Piala Malaysia musim lalu yang diadakan di venue itu menunjukkan keadaan yang kurang baik padang tersebut berikutan penganjuran konsert kumpulan Coldplay.

Semalam, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan perlawanan menentang Oman pada 26 Mac ini tetap berlangsung di stadium keramat Harimau Malaya itu walaupun terdapat desas-desus mengatakan akan bertukar venue jika keadaan padang tidak memuaskan.

Harimau Malaya memulakan latihan pusat di Wisma FAM semalam sebagai persediaan untuk perlawanan ketiga Kumpulan D, menentang pasukan ke-80 dunia Oman, di stadium Pusat Sukan Sultan Qaboos, Muscat pada 21 Mac, sebelum pulang untuk perlawanan keempat di Bukit Jalil, lima hari kemudian.

Selepas dua perlawanan itu, Malaysia yang pada masa ini berkedudukan ke-132 dunia akan bertemu Kyrgyzstan (6 Jun) di tempat lawan dan kembali ke Malaysia untuk bertemu Taiwan di Bukit Jalil pada 11 Jun.

Malaysia berada pada laluan terbaik untuk layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia / Piala Asia buat pertama kalinya, dengan ketika ini mendahului carta Kumpulan D dengan kelebihan tiga mata lebih dari Oman.

Anak buah Pan Gon mencatatkan dua kemenangan menentang Kyrgyzstan (4-3) dan Taiwan (1-0) tahun lepas untuk mendahului carta kumpulan, manakala Oman di tempat kedua berkongsi mata dengan Kyrgyzstan, manakala Taiwan berada di tempat terakhir tanpa sebarang mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2024 @ 1:56 PM