RUBEN Loftus-Cheek (tengah) menjaringkan gol kedua untuk AC Milan. FOTO AFP
RUBEN Loftus-Cheek (tengah) menjaringkan gol kedua untuk AC Milan. FOTO AFP
Reuters

Milan: Ruben Loftus-Cheek menjaringkan dua gol menerusi tandukan dan Rafael Leao menambah satu lagi gol ketika AC Milan memastikan kemenangan 3-0 di tempat sendiri ke atas wakil Perancis, Stade Rennais dalam aksi playoff pertama Liga Europa, awal pagi tadi.

Milan, yang tercicir ke Liga Europa selepas menduduki tempat ketiga peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, mungkin mencatatkan kemenangan yang lebih meyakinkan jika tidak kerana keampuhan pertahanan lawan namun mereka masih mempunyai kelebihan menjelang aksi timbal balik minggu depan.

Kelab Azerbaijan, Qarabag pula melakar kejutan apabila menang 4-2 di Sporting Braga dekat Portugal untuk memberi harapan mara ke pusingan 16 terakhir.

Sementara itu, penyerang veteran Argentina, Angel di Maria menyempurnakan dua sepakan penalti ketika Benfica menewaskan pasukan sedang bergelut dari Perancis, Toulouse 2-1 manakala pertembungan antara Racing Lens dengan Freiburg dari Jerman berakhir tanpa jaringan.

Loftus-Cheek menanduk masuk hantaran lintang Alessandro Florenzi ke dalam gawang lawan untuk gol pembukaan Milan pada minit ke-32 sebelum menambah gol kedua di awal babak kedua.

Leao yang bergandingan satu dua bersama Theo Hernandez menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-52 ketika Milan mendominasi pertembungan di San Siro.

Di Braga, pasukan tuan rumah memberikan sepakan penalti yang kemudian disempurnakan oleh Marko Jankovic untuk Qarabag pada minit ke-21 selepas Victor Gomez mengasari Elvin Jafarguliyev.

Bagaimanapun Braga menyamakan kedudukan sebelum berakhir separuh masa pertama menerusi jaringan Simon Banza.

Semakan video bantuan pengadil (VAR) membantu kelab Azeri itu kembali di hadapan pada minit ke-54 apabila Abdellah Zoubir disahkan tidak ofsaid selepas menjaringkan gol daripada sepakan percuma dan Juninho menjaringkan gol pada minit ke-65 selepas pada mulanya didakwan ofsaid.

Zoubir menambah gol keempat Qarabag selepas satu serangan balas pantas sebelum Braga membalas satu gol hasil sepakan penalti pemain veteran, Joao Moutinho pada masa kecederaan namun mereka masih berdepan kesukaran pada aksi minggu depan di Baku.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 7:25 AM