RAFAEL Leao (kiri) meraikan jaringannya untuk AC Milan. FOTO AFP
RAFAEL Leao (kiri) meraikan jaringannya untuk AC Milan. FOTO AFP
AFP

Paris: AC Milan menewaskan Rennes menerusi agregat 5-3 walaupun tewas 2-3 pada aksi play-off kedua, awal pagi tadi untuk mara ke pusingan 16 terakhir Liga Europa, di mana mereka akan disertai bekas juara Eropah, Benfica dan Marseille.

Benjamin Bourigeaud menjaringkan hatrik untuk Rennes, termasuk dua penalti, tetapi gol dari Luka Jovic dan Rafael Leao mengurangkan tekanan Milan yang sebelum itu selesa dengan kemenangan 3-0 pada aksi pertama.

Benfica juga menyaksikan keputusan seri 0-0 di tempat lawan dengan Toulouse sudah cukup untuk meneruskan kemaraan selepas mereka mencatat kemenangan 2-1 pada perlawanan pertama minggu lalu di Lisbon.

Lens, yang tercicir daripada Liga Juara-Juara ke pusingan play-off kalah mati, menjadi kelab Perancis ketiga yang tersingkir selepas Freiburg bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menang 3-2.

David Pereira da Costa dan Elye Wahi meletakkan Lens di depan selepas seri tanpa jaringan pada perlawanan pertama tetapi Roland Sallai menjaringkan dua gol untuk memaksa perlawanan di heret ke masa tambahan di Jerman.

Michael Gregoritsch kemudian meledak gol kemenangan untuk Freiburg pada minit ke-99.

Marseille memastikan Perancis kekal dalam pertandingan itu apabila bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Shakhtar Donetsk dengan agregat 5-3 selepas meraih kemenangan 3-1 di Velodrom.

Georgiy Sudakov menyempurnakan sepakan penalti di awal permainan dekat Marseille sebelum tuan rumah membalas menerusi gol Pierre-Emerick Aubameyang.

Ismaila Sarr memastikan Marseille di depan pada minit ke-74 dan Geoffrey Kondogbia menambah gol ketiga lewat permainan pada penampilan sulung Jean-Louis Gasset sebagai jurulatih selepas pengunduran Gennaro Gattuso.

Sementara itu AS Roma menewaskan Feyenoord 4-2 menerusi sepakan penalti untuk mara ke pusingan 16 terakhir selepas seri 1-1 sebaik berakhir masa tambahan, mengulangi keputusan pada perlawanan pertama.

Penjaga gol Roma, Mile Svilar menafikan sepakan David Hancko dan Alireza Jahanbakhsh dalam penentuan penalti untuk memastikan pasukannya mara ke peringkat kalah mati.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2024 @ 7:50 AM