GAYA Leao meraikan jaringan kedua Milan.  FOTO Reuters
GAYA Leao meraikan jaringan kedua Milan. FOTO Reuters
Reuters

Rome: AC Milan yang beraksi 10 pemain menewaskan AS Roma 2-1 menerusi jaringan Olivier Giroud dan Rafael Leao di Stadio Olimpico awal pagi tadi sekali gus berkelebihan tiga mata di puncak Serie A.

Milan meraih sembilan mata maksimum manakala Roma yang hanya satu mata meneruskan permulaan hambar selepas gagal memenangi tiga aksi pembukaan kali pertama sejak musim 2011-12.

"Keputusan penting, sama seperti prestasi," kata jurulatih Milan Stefano Pioli kepada DAZN. "Ia kesinambungan daripada dua aksi pertama dan saya puas hati."

Milan membelasah Torino 4-1 di tempat sendiri hujung minggu lalu selepas memulakan musim baharu dengan meraih kemenangan 2-0 di Bologna.

Giroud meletakkan Milan menerusi penalti minit ke-9 selepas penjaga gol Rui Patricio mengasari Ruben Loftus-Cheek.

Bintang Perancis itu menjaringkan gol dalam enam aksi berturut-turut buat kali kedua dalam karier di lima liga utama Eropah selepas melakukannya pada 2015 bersama Arsenal.

Pemain sayap Leao menambah jaringan menerusi sepakan akrobatik tiga minit selepas mendapat hantaran Davide Calabria.

Roma gagal memanfaatkan peluang selepas Milan beraksi 10 pemain minit ke-61 susulan layangan kad kuning kedua ke atas pertahanan Fikayo Tomori yang menjatuhkan Andrea Belotti.

Namun mereka berjaya mendapatkan gol sagu hati hasil rembatan Leonardo Spinazzola manakala Nicola Zalewski berpeluang menyamakan kedudukan tetapi percubannya gagal menyelamatkan Roma.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2023 @ 8:06 AM