Penyerang AC Milan, Zlatan Ibrahimovic meraikan kejayaan menjaringkan gol buat pasukannya ketika berdepan Roma di Rom. FOTO AFP
Penyerang AC Milan, Zlatan Ibrahimovic meraikan kejayaan menjaringkan gol buat pasukannya ketika berdepan Roma di Rom. FOTO AFP
AFP

Milan: Zlatan Ibrahimovic menyifatkan jaringan ke 150 di Serie A dari sepakan percuma sebagai semakin perlahan kerana faktor usia ketika AC Milan menewaskan Roma kendalian Jose Mourinho, 2-1 pagi ini.

Kemenangan itu mengekalkan kedudukan Milan di tangga kedua liga dengan perbezaan jaringan di belakang Napoli.

Penyerang Sweden, yang berusia 40 tahun awal bulan ini, juga hampir menjaringkan gol ke 400 dalam liga domestik tetapi dinafikan oleh VAR apabila dia didapati berada dalam kedudukan ofsaid pada babak kedua.

Skuad kendalian Stefano Pioli menamatkan aksi tanpa seorang pemain ketika pertahanan kiri Theo Hernandez dilayangkan kad merah selepas melakukan kekasaran.

"Bermula sekarang dan akan datang, saya akan membuat kejutan! Anda harus meneruskan perjuangan, kegagalan adalah sebahagian daripada kejayaan, jadi anda harus terus berusaha," kata Ibrahimovic kepada DAZN mengenai sepakan percumanya dengan kelajuan 101kmj itu.

"Ia kebiasaannya lebih laju! Sekurang-kurangnya 200kmj! Saya fikir saya menampilkan rembatan pada usia tua," tambahnya.

Ibrahimovic memecah kebuntuan jaringan sebelum 30 minit aksi perlawanan. Dia meledak dari sepakan percuma menerusi rembatan leret selepas Rick Karsdorp melakukan kekasaran ke atas Rafael Leao.

Milan menambah jaringan kedua ketika pemain tengah Ivory Coast, Franck Kessie menyempurnakan penalti selepas hampir satu jam perlawanan.

Harapan juara Itali 18 kali untuk memperoleh tiga mata tampak tergugat ketika berbaki 25 permainan selepas pertahanan Perancis, Hernandez diperintah keluar padang apabila menerima kad kuning kedua kerana melakukan kekasaran.

Mereka diberi ancaman lewat ketika tandukan pemain Roma, Nicolo Zaniolo dinafikan di garisan gol sebelum bekas pemain tengah kelab itu, Stephan El Shaarawy memastikan gol saguhati lawan pada minit kecederaan perlawanan.

Milan berdepan tekanan selepas Napoli melebarkan kedudukan dengan tiga mata di puncak carta selepas melakar kemenangan 1-0 ke atas Salernitana pada aksi lebih awal.

Pemain tengah Poland, Piotr Zielinski menjaringkan gol buat pendahulu liga, Napoli mengatasi Salernitana.

Zielinski meledak gol kedua untuk musim ini selepas satu jam aksi berlangsung di Stadium Arechi ketika kedua-dua pasukan menamatkan saingan dengan 10 pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 8:32 AM