MEDIANG Kok Hong meninggal dunia ekoran komplikasi jantung. -FOTO FAM
MEDIANG Kok Hong meninggal dunia ekoran komplikasi jantung. -FOTO FAM
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selepas keluarga bola sepak Malaysia dikejutkan dengan pemergian legenda negara, Khalid Ali semalam, seorang lagi bekas pemain Harimau Malaya, Moey Kok Hong menghembuskan nafas terakhirnya hari ini.

Perkhabaran sedih itu dikongsikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di laman Facebook rasmi badan induk itu.

FAM dalam kenyataannya menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang di atas pemergian Kok Hong yang meninggal dunia ekoran komplikasi jantung.

"FAM mengucapkan takziah kepada keluarga Moey Kok Hong atas pemergian bekas pemain kebangsaan dan Pulau Pinang era 90-an itu akibat komplikasi jantung, pagi tadi.

"Mendiang pernah menyarung jersi skuad Harimau Malaya pada kempen Piala Tiger 1998 dengan beraksi pada perlawanan pertama menentang Singapura di Hanoi, Vietnam di bawah kendalian Hatem Souisi.

"Selain itu, Kok Hong turut beraksi ketika perlawanan persahabatan di antara Pilihan Malaysia bertemu Arsenal di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada tahun 1999 di bawah kendalian Abdul Rahman Ibrahim," kata kenyataan itu.

Semalam, Khalid dilaporkan meninggal dunia pada usia 66 tahun selepas hampir setahun bertarung dengan kanser paru-paru.

Difahamkan, Khalid meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sekitar jam 3 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2024 @ 1:34 PM