SANTOKH Singh. FOTO HASRIYASYAH SABUDIN
SANTOKH Singh. FOTO HASRIYASYAH SABUDIN
Firdaus Hashim & Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Arena bola sepak tanah air kehilangan seorang pecinta bola sepak negara yang juga bekas pemain skuad Harimau Malaya era 80an, Khalid Ali yang menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini, hari ini.

Pemergian legenda itu cukup mengejutkan peminat bola sepak negara termasuk bekas rakan sepasukannya yang menganggap Khalid antara pemain tengah terbaik pernah dilahirkan oleh pasukan Malaysia.

Paling terkesan di atas pemergian Khalid adalah bekas pertahanan kental negara, Datuk Santokh Singh yang melabelkan arwah sebagai tonggak tengah terhebat skuad Harimau Malaya.

"Saya dimaklumkan bahawa Khalid sudah tiada, saya memang sedih dan mengucapkan takziah kepada keluarga Khalid di atas pemergian kawan saya itu.

"Bagi saya Khalid adalah pemain tengah paling hebat di bahagian itu yang kita pernah ada. Dia bersama saya kami bersama-sama bantu pasukan Malaysia layak ke Sukan Olimpik 1980 dulu," katanya kepada Arena Metro.

Terdahulu, legenda bola sepak negara, Khalid Ali menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 66 tahun hari ini pada jam 3 petang tadi selepas hampir setahun bertarung dengan kanser paru-paru.

Bekas pemain Selangor itu menyarung jersi skuad kebangsaan dari 1977 hingga 1985 yang mana pencapaian terbaiknya membantu skuad Harimau Malaya layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow, Rusia.

Turut menzahirkan ucapan takziah adalah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di laman Facebook rasmi badan induk itu.

"Semoga Allah SWT merahmati rohnya, mengampuni segala dosanya dan menempatkannya dalam kalangan para solehin," tulis FAM di FB.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 5:18 PM