Suraya Roslan


TOKOH sejarawan negara, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) 10.13 pagi tadi.

Ahli akademik berusia 82 tahun itu pernah membuat pembedahan pintasan jantung pada Oktober lalu dan keadaan kesihatannya terus merosot selepas pulang daripada rawatan.

Kay Kim yang dilahirkan di Kampar, Perak meninggalkan isteri Puan Sri Rathi Khoo, 75, serta tiga anak Eddin, Rubin dan Mavin.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyifatkan pemergian Kay Kim sebagai kehilangan sebutir bintang ilmuan yang amat banyak berjasa dalam bidang pendidikan dan pembangunan negara.

“Pemergian anak kelahiran Kampar yang dibesarkan di Teluk Intan itu, adalah satu kehilangan besar yang akan dirindui semua dan jasanya tetap akan dikenang sepanjang zaman.

“Negara dan negeri ini banyak terhutang budi kepada mendiang Tan Sri yang turut terbabit menggubal Rukun Negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Faizal berkata, setiap kali timbul isu berkaitan Perlembagaan, sejarah dan keharmonian negara, pasti semua pihak menantikan pandangan bernas bersandarkan kepada fakta daripada mendiang, sekali gus menunjukkan rasa cinta beliau yang tidak berbelah bahagi kepada negara.

Beliau berkata, kematian Kay Kim sebagai tiada pengganti, justeru mendoakan agar seluruh ahli keluarga mendiang dapat bersabar bagi menghadapi tempoh yang sukar itu.

“Mewakili kerajaan negeri Perak, saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang Tan Sri Dr Khoo Kay Kim,” katanya.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu turut menzahirkan rasa dukacita di atas kematian tokoh sejarawan negara itu.

Menerusi satu kenyataan media, beliau berkata, Kay Kim adalah tokoh akademik yang banyak memberi jasa kepada negara.

“Antara jasa besar beliau kepada negara adalah terbabit dalam menulis Rukun Negara selain banyak mencurahkan baktinya dalam mendidik anak bangsa.

“Kay Kim pasti akan dikenang kerana sudah banyak menabur bakti kepada negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 12:39 PM