FAM rakamkan takziah kepada seluruh keluarga Nik Akif.
FAM rakamkan takziah kepada seluruh keluarga Nik Akif.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkongsi kesedihan dan mengucapkan takziah kepada pemain bawah 23 (B-23) tahun negara, Nik Akif Syahiran di atas pemergian bapa tersayang, Nik Mat Yusof yang meninggal dunia, pagi ini.

"FAM menghulurkan salam takziah kepada pemain skuad kebangsaan, Nik Akif Syahiran Nik Mat atas pemergian bapanya, Nik Mat Yusof yang kembali ke rahmatullah, pagi tadi.

"Semoga Allah SWT merahmati dan mengampuni segala dosa roh Allahyarham, memuliakan kematiannya dengan menjadikan syurga sebagai ganti tempat tinggal yang abadi. Aamiinn. Al-Fatihah."

Nik Akif Syahiran
Nik Akif Syahiran

Nik Akif, 22, adalah antara tonggak utama skuad B-23 menjelang Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang akan berlangsung di Ulaanbaatar, Mongolia bermula Isnin depan.

Skuad negara dijadual berangkat ke Mongolia pada malam esok dan pastinya berita pemergian bapanya itu cukup menyedihkan buat tonggak tengah yang beraksi bersama Terengganu FC di Liga Malaysia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 1:17 PM