SALAH menyaksikan perlawanan Mesir menentang Cape Verde di tempat duduk penonton. FOTO AFP
SALAH menyaksikan perlawanan Mesir menentang Cape Verde di tempat duduk penonton. FOTO AFP
AFP

London: Mohamed Salah mendedahkan cintanya kepada Mesir tidak berbelah bahagi apabila bintang Liverpool itu memberi maklum balas kepada kritikan terhadap keputusannya untuk kembali ke England bagi mendapatkan rawatan akibat kecederaan hamstring.

Salah dijangka akan berehat selama kira-kira empat minggu akibat kecederaan yang dialaminya ketika bermain untuk Mesir dalam perlawanan seri menentang Ghana pada Piala Negara-Negara Afrika minggu lalu.

Pemain berusia 31 tahun itu dikritik kerana meninggalkan Ivory Coast untuk menjalani sesi pemulihan bersama Liverpool.

Pemegang rekod kapten Mesir, Ahmed Hassan berkata Salah sepatutnya kekal bersama pasukan walaupun dia hanya mempunyai satu kaki untuk berdiri.

Kapten Mesir, Salah berharap dapat menyertai rakan sepasukannya jika mereka berjaya mara ke peringkat akhir kejohanan dan dia memberi jawapan ringkas kepada mereka yang mempersoalkan komitmennya terhadap negaranya.

"Semalam saya mula menjalani sesi rawatan dan pemulihan. Saya akan melakukan segala yang boleh untuk bersedia secepat mungkin dan kembali ke pasukan kebangsaan seperti yang sudah dipersetujui dari awal. Saya masih menyayanginya dan rakyatnya. Cuba lebih gigih," katanya di X.

Salah menyaksikan permainan dari tempat duduk penonton semasa Mesir mengesahkan tempat mereka ke peringkat 16 akhir pada Isnin dengan keputusan seri 2-2 menentang Cape Verde.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 11:51 AM