SALAH hanya mampu melihat dari luar padang ketika Mesir seri 2-2 dengan Cape Verde, sebelum layak ke pusingan kalah mati. FOTO AFP
SALAH hanya mampu melihat dari luar padang ketika Mesir seri 2-2 dengan Cape Verde, sebelum layak ke pusingan kalah mati. FOTO AFP
AFP

Abidjan: Mohamed Salah yang cedera hanya mampu melihat dari tempat duduk penonton ketika Mesir seri 2-2 dengan Cape Verde pada aksi penuh debaran di Piala Negara-Negara Afrika, awal pagi tadi.

Ia adalah keputusan seri kali ketiga buat Mesir, namun sudah memadai buat mereka mara ke pusingan 16 terakhir.

Cape Verde sudah mengesahkan kedudukan selaku juara Kumpulan B dan pada landasan meraih kemenangan ketiga berturut-turut apabila Gilson Tavares Benchimol meletakkan mereka di depan sebelum rehat perlawanan di Stadium Felix Houphouet Boigny itu.

Tetapi, pemain gantian Mesir, Mahmoud Trezeguet menyamakan kedudukan selepas rehat sebelum Mostafa Mohamed menyempurnakan peluang menarik pada masa kecederaan untuk meletakkan mereka di depan.

Namun, jaringan itu belum cukup apabila Bryan Teixeira menjaringkan gol penyamaan Cape Verde pada minit kesembilan masa tambahan.

Berikutan Ghana seri 2-2 dengan Mozambique dalam satu lagi aksi dalam kumpulan itu, Mesir mara ke pusingan kalah mati walaupun hanya memungut tiga mata.

Mesir yang mencipta rekod tujuh kali juara Afrika, tetapi gagal merangkul gelaran itu sejak 2010, akan berkunjung ke San-Pedro untuk aksi kalah mati pada Ahad ini.

Bagaimanapun, Salah akan terlepas perlawanan itu dan masih tidak dapat dipastikan sama ada kapten Mesir itu mampu beraksi lagi di Ivory Coast.

Ahad lalu Persatuan Bolasepak Mesir mengumumkan dia mungkin kembali ke Liverpool selepas perlawanan hari ini untuk menyambung rawatan kecederaan hamstring dialami ketika seri 2-2 dengan Ghana, Khamis lalu.

Mereka berkata, dia mungkin bersama pasukan jika Mesir layak ke separuh akhir, tetapi ejen pemain itu masih sangsi dengan kemungkinan berkenaan.

"Kecederaan Mohamed lebih serius berbanding jangkawaan awal dan dia mungkin tersisih selama 21 hingga 28 hari, bukannya dua perlawanan," kata ejennya, Ramy Abbas Issa menerusi X.

"Peluang terbaiknya menyertai semula AFCON ketika ini adalah menjalani pemulihan insentif di UK (United Kingdom) dan kembali segera bersama pasukan sebaik cergas semula."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 7:48 AM