SALAH menjaringkan gol sepakan penalti pada masa kecederaan yang membolehkan Mesir seri 2-2 dengan Mozambique. FOTO REUTERS
SALAH menjaringkan gol sepakan penalti pada masa kecederaan yang membolehkan Mesir seri 2-2 dengan Mozambique. FOTO REUTERS
AFP

Abidjan: Mohamed Salah menyelamatkan Mesir daripada kekalahan memalukan pada aksi pembukaan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) apabila sepakan penaltinya pada minit ke-97 memastikan seri 2-2 dengan Mozambique, malam tadi.

Sepakan penalti itu dihadiahkan selepas Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesan kekasaran ke atas Mostafa Mohamed dalam kotak penalti di Stadium Felix Houphouet Boigny Stadium di Abidjan, dan jaringan Salah itu menafikan kemenangan sulung yang bersejarah buat Mozambique dalam kempen AFCON.

"Ia adalah perlawanan sangat sukar. Saya sangat sedih melihat pemain kecewa di hujung perlawanan kerana kami memang berhak menang," kata jurulatih Mozambique, Chiquinho Conde.

Mohamed memberikan Mesir yang juga pemegang rekod selaku juara Afrika sebanyak tujuh kali itu permulaan sempurna apabila menjaringkan gol selepas dua minit perlawanan Kumpulan B itu.

Tetapi, cuaca panas dan haba menjejaskan permainan mereka dan Mozambique yang tidak pernah menang dalam 12 perlawanan di empat edisi sebelum ini menyamakan kedudukan menerusi Witiness Quembo pada minit ke-55.

Keadaan perlawanan berubah apabila Mozambique mendahului 2-1, tiga minit kemudian menerusi jaringan pemain yang dimasukkan ketika rehat, Clesio Bauque.

Walaupun gol lewat Salah menyelamatkan Mesir, ia bukanlah permulaan meyakinkan mereka dalam kempen di Ivory Coast, kali ini, pada ketika mereka mahu menjarakkan rekod dengan kejuaraan kelapan AFCON dan yang pertama sejak 2010 iaitu sebelum bintang Liverpool itu membuat penampilan sulung di pentas antarabangsa.

"Kami mahu menang setiap perlawanan dan sangat sedih apabila ia tidak berlaku, tetapi ini bukan perlawanan yang mudah," kata jurulatih Mesir, Rui Vitoria.

"Kami bukan pasukan terbaik sebelum undian dibuat dan kami bukan paling lemah sekarang."

Mesir akan bertemu Ghana, Khamis ini sebelum nasib mereka akan ditentukan pada perlawanan terakhir menentang Cape Verde.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 9:04 AM