SALAH (tiga dari kanan) bersalaman dengan Vitoria selepas Mesir seri 2-2 dengan Cape Verde dan mara ke pusingan kalah mati. FOTO AFP
SALAH (tiga dari kanan) bersalaman dengan Vitoria selepas Mesir seri 2-2 dengan Cape Verde dan mara ke pusingan kalah mati. FOTO AFP
AFP

Abidjan: Jurulatih Mesir, Rui Vitoria mengesahkan kecederaan hamstring Mohamed Salah di Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) mungkin akan mengambil masa lebih lama untuk pulih.

Penyerang Mesir itu akan pulang ke Anfield untuk menjalani proses pemulihan bersama kelabnya, Liverpool.

Ahad lalu, Persatuan Bolasepak Mesir mengumumkan, Salah akan kembali ke England selepas cedera ketika seri 2-2 menentang Ghana di Ivory Coast pada Khamis.

Pada awalnya, dia dijangka akan kembali beraksi selepas dua perlawanan dan bermain di separuh akhir AFCON sekiranya Mesir mara ke peringkat itu.

Mesir kini mara ke pusingan 16 terakhir selepas terikat 2-2 dengan Cape Verde dan Vitoria berkata: "Saya ingin menjelaskan beberapa perkara.

"Mohamed Salah mengalami kecederaan, sebelum perlawanan kami diberitahu yang ia adalah kecederaan jangka panjang, jadi mengambil masa lebih lama untuk pulih.

"Sebelum perlawanan kami tidak mahu mengatakan apa-apa. Sementara itu, pasukan perubatan kami melakukan tugas dengan baik."

Salah dijangka mengambil masa sehingga dua minggu untuk pulih, dan bagi Vitoria, kembali bersama Liverpool adalah jalan terbaik buat Salah kerana Mesir akan meninggalkan Abidjan berikutan perlawanan seterusnya akan berlangsung di San-Pedro.

"Berikutan kami beralih ke lokasi lain, cuaca dan suhur, bandar berbeza, memang wajar Salah ke tempat sepatutnya untuk pemulihan secepat mungkin," katanya sambil memberi bayangan kepada pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.

"Kami tidak mahu mengingatkan sesiapa. Saya fikir tidak wajar Liverpool mengulas mengenai perkara ini kerana kami ada perlawanan penting hari ini," katanya selepas Klopp mencadangkan Salah pulang ke Anfield untuk menerima rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 8:49 AM