DARREN (dua dari kiri) pada sesi latihan skuad negara menjelang pertemuan dengan Bahrain. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
DARREN (dua dari kiri) pada sesi latihan skuad negara menjelang pertemuan dengan Bahrain. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Firdaus Hashim melaporkan dari Doha dan Qatar


Doha: Perbezaan 44 anak tangga ranking dunia bukan alasan untuk skuad Harimau Malaya mengibarkan bendera putih lebih awal menjelang aksi getir bertemu Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad pada aksi Piala Asia 2023, di sini, esok.

Biarpun Malaysia menduduki ranking ke-130 berbanding lawan di kedudukan ke-86 dunia, ia tidak boleh dijadikan ukuran sebenar dan perkara sebaliknya boleh berlaku.

Mengambil inspirasi daripada kemenangan mengejut Arab Saudi ke atas Argentina pada perlawanan Piala Dunia 2022 di Qatar dua tahun lalu, ia akan dijadikan azimat untuk mengejutkan Bahrain dalam aksi kedua Kumpulan E Piala Asia nanti.

Penyerang skuad negara, Darren Lok menganggap kejayaan Arab Saudi menundukkan Argentina sebagai motivasi bagi meningkatkan keyakinan pasukan betapa peluang untuk melakar kemenangan tetap ada, biarpun skuad The Reds dianggap pilihan.

"Ia sudah tentu dalam bola sepak seperti yang dikatakan (kemenangan Arab Saudi ke atas Argentina di Piala Dunia) apa saja boleh berlaku.

"Kami harus percaya pada diri apabila sudah beberapa kali menentang Bahrain termasuk ketika kelayakan Piala Asia dan menjaringkan satu gol.

"Kami harus percaya pada diri sendiri dan yakin boleh mencatatkan keputusan positif walaupun ranking ke-130 ketika ini.

"Saya percaya ia bukan alasan dan kami sebenarnya sudah hampir dengan pasukan lebih atas. Kami masih ada peluang dan akan cuba memburu keputusan positif," katanya ketika ditemui di hotel penginapan pasukan di sini.

Selepas tunduk 0-4 di tangan Jordan pada aksi pertama Selasa lalu, skuad Harimau Malaya tiada pilihan apabila wajib memburu mata penuh ke atas Bahrain sebelum berdepan Korea Selatan pada aksi terakhir kumpulan, Khamis depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 2:10 PM