TAN CHENG HOE
TAN CHENG HOE
Firdaus Hashim


PERBEZAAN masa empat jam antara Palestin dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyaksikan pengendali negara, Tan Cheng Hoe terpaksa memilih Bahrain sebagai lawan untuk aksi pemanas badan pada Mac depan.

Jelas Cheng Hoe, keputusan memilih Bahrain dilihat lebih praktikal di mana jarak dengan UAE yang bakal menjadi lawan sukar pada aksi keenam Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, 26 Mac depan.

“Saya dimaklumkan oleh sekretariat FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) yang Palestin ada menerima undangan untuk aksi persahabatan sebelum kita lawan dengan UAE. Malah, daripada lima permohonan itu yang kita turut bagi kepada Bahrain, Arab Saudi, Oman dan Qatar, saya diberitahu Bahrain juga sedia berjumpa kita.

“Jadi selepas mengambil kira semua aspek termasuk soal jarak waktu dan jarak Palestin dengan UAE, saya putuskan untuk menentang Bahrain. Malah, kita juga mungkin hanya lawan satu pasukan kerana saya mahu beri rehat secukupnya kepada pemain kerana selepas menentang UAE kita akan bertemu Vietnam pula lima hari kemudian.

“Risiko kecederaan juga antara perkara yang saya bimbang kalau dua perlawanan persahabatan kemungkinan boleh mengundang masalah kecederaan,” katanya kepada Arean Metro, semalam.

Mengulas mengenai tentangan yang bakal diterima anak buahnya apabila bertemu pasukan di ranking ke-99 dunia itu, Cheng Hoe mengakui Bahrain turut memiliki kekuatan sama seperti UAE.

Katanya, kejayaan Bahrain muncul juara Piala Asia Barat baru-baru ini dengan menewaskan Arab Saudi 1-0 di pentas final tidak boleh dipandang enteng dengan beliau mahu skuad Harimau Malaya yang kini di tangga ke-154 meraih keputusan positif.

“Jurang antara Bahrain dan UAE tidak jauh, jadi saya percaya Bahrain akan memberi apa yang kita mahukan sebagai persediaan terbaik untuk kita,” katanya.

Skuad negara ketika ini berada di tangga kedua dalam kumpulan G dengan sembilan mata selepas mencatat tiga kemenangan ke atas Indonesia (3-2 di Jakarta & 2-0 di Bukit Jalil) dan Thailand (2-1 di Bukit Jalil) selain tewas dua kali kepada Vietnam (0-1 di Hanoi) dan UAE (1-2 di Bukit Jalil).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Disember 2019 @ 6:05 AM