PENGENDALI Harimau Malaya Kim Pan-gon. -FOTO NSTP
PENGENDALI Harimau Malaya Kim Pan-gon. -FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Adakah Arab Saudi yang dibimbing Roberto Mancini 'goyang' berdepan skuad Harimau Malaya di Piala Asia nanti?

Ia susulan tindakan Mancini yang juga bekas jurulatih Itali hingga membawa skuad Azzuri muncul juara Piala Eropah pada 2020 itu terpaksa membatalkan hasrat berdepan anak buah Kim Pan-gon dalam aksi persahabatan sebelum beraksi di Piala Asia Qatar Januari ini.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman, perlawanan pemanas badan itu yang sepatutnya berlangsung pada 4 Januari nanti dibatalkan atas permintaan Mancini selaku ketua jurulatih baharu Arab Saudi.

"Perancangan untuk aksi persahabatan kedua-dua pasukan ini memang telah lama dirancang dan dipersetujui oleh kedua-dua pasukan.

"Namun pihak Arab Saudi memaklumkan kepada FAM bahawa perlawanan ini tidak dapat diteruskan kerana Mancini membuat congakan bahawa pasukan kendaliannya itu berkemungkinan bertemu Malaysia di seawal Pusingan 16 Terbaik.

"Ini kerana, jika Arab Saudi muncul juara Kumpulan F dan Malaysia pula menjadi naib juara Kumpulan E, kedua-dua pasukan boleh bertemu di Pusingan 16 Terbaik pada 30 Januari 2024," katanya.

Isnin lalu, Arab Saudi yang berada di ranking 56 dunia mengumumkan bahawa mereka akan mengadakan aksi persahabatan menentang Lubnan pada 4 Januari, disusuli Palestin dan Hong Kong pada 9 dan 10 Januari sebelum memulakan saingan Kumpulan F.

Skuad kebangsaan yang menduduki ranking ke-130 dunia dijangka memulakan kem latihan pusat pada minggu depan sebagai persiapan fasa akhir menjelang kejohanan bola sepak paling berprestij Asia itu.

Malaysia yang berjaya layak secara merit buat kali pertama dalam tempoh 43 tahun telah diundi dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Bahrain dan Jordan.

Pasukan negara dijadual menentang Jordan pada 15 Januari depan, Bahrain (20 Januari) dan aksi terakhir kumpulan bertemu Korea Selatan pada 25 Januari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 1:59 PM