SKUAD Harimau Malaya kini menduduki ranking ke-130 dunia. FOTO FB FAM
SKUAD Harimau Malaya kini menduduki ranking ke-130 dunia. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya meraih tonik terbaik menjelang kempen Piala Asia di Qatar, Januari depan apabila kini berada di kedudukan ke-130 dunia dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Peningkatan tujuh anak tangga itu dari tangga ke-137 dunia sebelum ini menyaksikan anak buah Kim Pan-gon semakin hampir untuk mencapai sasaran muncul sebagai pasukan 120 terbaik dunia.

Berita kenaikan ranking itu dikongsikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di laman Facebook rasmi badan induk tempatan itu.

"Kemas kini terbaharu ranking Fifa hari ini, Malaysia di tangga 130 dunia, berjaya naik 7 anak tangga berbanding 137 pada kemas kini terdahulu, 26 Oktober 2023.

"Kemas kini seterusnya 21 Disember 2023," kata FAM menerusi kenyataan itu.

Peningkatan mencanak skuad Harimau Malaya itu didorong menerusi dua kemenangan dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada minggu lalu.

Pasukan negara menundukkan Kyrgyzstan yang berada di tangga ke-97 dunia menerusi keputusan 4-3 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Rentak sama diteruskan pada aksi kedua apabila menundukkan Taiwan (152 dunia) dengan 1-0 di Stadium Perbandaran Taipei, sekali gus memimpin carta Kumpulan D dan akan berdepan Oman pada Mac nanti.

Lonjakan ranking ini diharap mampu menaikkan motivasi pemain sebelum turun beraksi Piala Asia apabila Malaysia diletakkan dalam Kumpulan E bersama Jordan, Bahrain dan Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 6:11 PM