PAN-gon membuktikan dalam dua tahun lepas untuk memberikan yang terbaik kepada bola sepak Malaysia. FOTO Bernama
PAN-gon membuktikan dalam dua tahun lepas untuk memberikan yang terbaik kepada bola sepak Malaysia. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Doha: Pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon percaya beliau sudah melakukan tugas dengan sebaiknya sejak dilantik membimbing pasukan negara dua tahun lalu.

Jelas Pan-gon, beliau yakin masih mendapat sokongan kuat daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menaruh dan meletakkan kepercayaan di bahunya.

Lantas tidak timbul isu dirinya berisiko dipecat ekoran kegagalan pasukan negara melepasi peringkat kumpulan di saingan Piala Asia 2023 di sini, ketika ini.

"Sebagai jurulatih, segala tekanan di bahu saya dari kejohanan demi kejohanan, tetapi percaya saya membuktikan dalam dua tahun lepas untuk memberikan yang terbaik kepada bola sepak Malaysia.

"Jadi saya yakinkan diri bahawa kita boleh memberikan perkara terbaik untuk masa depan juga," katanya yang dilantik menggantikan Tan Cheng Hoe pada Mac 2022 lalu.

Untuk rekod, sejak Pan-gon membimbing pasukan kebangsaan, beliau berjaya memacu pasukan mencatat 18 kemenangan dalam 28 perlawanan termasuk layak ke Piala Asia secara merit selepas 43 tahun yang gagal dilakukan oleh mana-mana jurulatih sama ada tempatan mahupun import.

Malah, lonjakan ranking daripada 154 hingga ke-130 dunia hanya dalam tempoh 20 bulan nyata sesuatu yang jarang berlaku buat skuad negara.

Corak permainan pasukan juga berubah dengan menekankan aspek serangan yang berintensiti tinggi.

Ujar Pan-gon, tekanan sebagai jurulatih sentiasa ada namun beliau bersedia menghadapi setiap halangan bagi memastikan skuad Harimau Malaya mampu bangkit dan bersaing di peringkat antarabangsa.

"Kadang-kadang ada banyak tekanan tetapi saya perlu atasi, tetapi jika sesuatu berlaku ia takdir saya, sebagai jurulatih saya perlu sentiasa bersedia.

"Saya perlu membuang semua perkara negatif dan ketakutan. Saya perlu kuat dan positif untuk mengendalikan pasukan," katanya yang pernah mengendali pasukan kebangsaan Hong Kong sebelum ini.

Terdahulu kempen Malaysia di Piala Asia hambar apabila gagal melepasi peringkat kumpulan selepas tewas dalam dua aksi awal Kumpulan E di tangan Jordan dan Bahrain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 4:00 PM