Datuk Michael Ong Chee Koen
Datuk Michael Ong Chee Koen

Kuala Lumpur: Syarikat terkemuka dalam bidang infrastruktur, pembinaan dan pembangunan, E&J Group of Companies berada di landasan kukuh untuk disenaraikan ke Bursa Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan E&J, Datuk Michael Ong Chee Koen berkata, perancangan syarikat untuk tersenarai di Bursa Malaysia memang sudah ada, namun ditangguhkan disebabkan pandemik Covid-19.

"Bagaimanapun, kami tidak tergesa-gesa untuk berada di Bursa Malaysia kerana dalam tempoh tiga ke lima tahun ke depan, kami akan terus memastikan Kumpulan E&J terus berkembang secara stabil mencapai keuntungan disasarkan.

"Malah, sehingga sekarang Kumpulan E&J mempunyai beberapa projek baharu selain sudah menyiapkan empat projek tahun ini termasuk mula meneroka projek di Banting dan Pulau Indah.

"Seiring waktu untuk lima tahun nanti kami optimis dan bersedia untuk disenaraikan di Bursa Malaysia," katanya.

Menurutnya, bermula sebagai syarikat kecil, Kumpulan E&J terus mengorak langkah menjadi konglomerat dengan memanfaatkan kepakaran selama 20 tahun dalam sektor pembinaan dan pembangunan hartanah.

Beliau berkata, pihaknya komited menghasilkan bukan sahaja pembangunan, tetapi ruang inovatif padu dan melebihi jangkaan normal.

"Pegangan kami asas dibina atas kerja keras, integriti dan rasa tanggungjawab mendalam, bertujuan memberi kesan positif kepada komuniti dan menetapkan piawaian baharu yang meyakinkan.

"Kekuatan kami pastinya bermula daripada kepakaran yang ada daripada barisan Pengarah Kumpulan E&J yang masing-masing mempunyai kelulusan profesional dalam bidang pembangunan, khususnya bidang kejuruteraan, juru ukur bahan (QS) yang bukan semata-mata ahli perniagaan.

"Kemahiran dan ilmu ini kami salurkan terhadap penubuhan Kumpulan E&J yang matlamat kami sama iaitu menjadi pelopor yang sentiasa selangkah ke hadapan dalam kualiti dan prestasi bersama seluruh kakitangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 7:21 AM