PENGERUSI First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif (kiri). -FOTO NSTP
PENGERUSI First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif (kiri). -FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Semua pasukan Liga M3 diingatkan agar tidak memandang ringan syarat pelesenan kelab dan diharapkan dapat melakukannya biarpun hanya beraksi di saingan amatur.

Pandangan itu disuarakan Pengerusi First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif yang melihat kebanyakan kelab yang beraksi dalam kancah Liga Bolasepak Amatur (AFL) gemar mengambil langkah saat akhir untuk cuba memenuhi syarat pelesenan kelab.

Perkara itu dapat dilihatnya ketika sesi temuduga bersama empat wakil kelab Liga M3 yang memohon lesen luar biasa bagi menyertai saingan Liga Super 2024-2025 yang dijadual bermula Mei ini.

Katanya, setiap pasukan diingatkan tidak menghambat kesemua kriteria ditetapkan pada saat akhir kerana ia boleh melambatkan proses permohonan disebabkan dokumen yang tidak lengkap.

"Lebih penting sekarang, pasukan-pasukan di Liga M3 ini dia orang perlu lebih bersedia untuk cuba memenuhi kehendak pelesenan kelab itu.

"Bukan buat dalam saat akhir, bukan tiba-tiba dah layak (juara Liga M3 raih slot ke Liga Super) untuk bermain (baru nak lengkapkan kriteria pelesenan kelab)...contoh dia dah layakkan barulah nak buat, patutnya buat dari awal.

"Sebab MFL memang dah bagi 'education' dari awal lagi untuk serahkan kriteria ini bulan berapa, kriteria itu bulan berapa.

"Cuba buat benda itu, agar di hujungnya nanti sebenarnya nanti dah senang. Bukan nak hambat semua dokumen-dokumen itu yang akhirnya jadi masalah," katanya ketika dihubungi.

Untuk rekod, terdapat enam kriteria utama buat semua pasukan untuk menerima Lesen Kebangsaan, sekali gus diberikan lampu hijau beraksi di Liga Super.

Antara syarat bagi membolehkan pasukan diberikan lesen adalah dengan memenuhi kriteria Sukan, Infrastruktur, Kakitangan & Pentadbiran, Perundangan, Kewangan dan Perniagaan seperti mana yang dinyatakan dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023.

Daripada enam kriteria terbabit, aspek kewangan antara perkara paling dititik beratkan bagi memastikan isu tunggakan gaji tidak berlaku yang akhirnya menjejaskan imej Liga M.

Kelantan FC, Melaka United dan Sarawak United antara kelab yang pernah menjadi mangsa kegagalan memenuhi kriteria berkenaan yang menyebabkan pasukan terbabit disingkirkan daripada Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 2:38 PM