Pemerhati bola sepak tanah air, Datuk Richard Scully
Pemerhati bola sepak tanah air, Datuk Richard Scully
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Liga M3 perlu mempunyai satu petanda aras yang tinggi agar kelab yang bertanding itu dapat menyediakan pasukan yang lebih berkualiti dan bukan menjadi tempat persinggahan pemain yang berada di penghujung karier mereka.

Pemerhati bola sepak tanah air, Datuk Richard Scully berkata, ketika ini boleh dikatakan pasukan yang bertanding di Liga M3 mempunyai jurang yang agak besar jika hendak dibandingkan dengan kelab yang bermain di liga utama.

Disebabkan itu, beliau mengharapkan pihak berwajib dapat melakukan perubahan supaya setiap pasukan di Liga M3 juga mempunyai kekuatan yang hampir sama atau lebih bagus untuk kelab itu sentiasa bersedia apabila perlu beraksi di Liga Super.

Namun begitu, beliau menyambut baik dengan perubahan yang dilakukan oleh Liga Bolasepak Amatur (AFL) dengan menambah dari 12 ke 16 pasukan dan itu akan menjadikan ekosistem bola sepak di Malaysia semakin baik.

"Liga M3 perlu ada petanda aras supaya pemain atau pasukan yang akan bermain di Liga Super selepas itu tiada beza.

"Kita juga tidak mahu ada persepsi Liga M3 untuk pemain hampir pencen, mereka bermain di situ. Kita hendak wujudkan liga yang mempunyai kualiti yang lebih baik dan pasukan yang bertanding juga dapat sediakan sebuah pasukan yang terdiri daripada pemain yang cukup baik."

Tetapi selalunya pasukan yang bermain di Liga M3, mereka akan guna pemain yang boleh bermain di liga itu dan apabila naik ke Liga Super, pasukan ini akan berbelanja dengan mencari pemain yang lebih baik bagi mengukuhkan pasukan.

"Jadi ia bergantung juga kepada kewangan pasukan yang bertanding tetapi setiap kelab perlu mengambil lebih serius menyiapkan pasukan agar mereka lebih bersedia ke Liga Super," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) terpaksa membuka 'talian hayat' mengejut kepada pasukan dari Liga M3 untuk menghantar kembali permohonan lesen luar biasa bagi menyertai Liga Super musim 2024/2025.

Pihak MFL terpaksa melakukan perkara itu selepas mengambil kira keputusan First Instance Body (FIB) dan Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB) yang menolak permohonan Lesen Kebangsaan Kelantan FC untuk bertanding dalam Liga Super 2024-2025.

Menerusi mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL awal bulan Mac, badan itu mengumumkan Perlis United FC (PUFC) menjadi pilihan terbaik untuk mengisi slot ke-14 bagi menyertai saingan Liga Super musim ini dengan syarat perlu memenuhi syarat tambahan yang bakal berakhir hujung bulan Mac lalu.

Namun harapan PUFC untuk membuat 'comeback' dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) hanyalah harapan palsu apabila kelab itu sah tidak diberikan Lesen Kebangsaan sekali gus menyaksikan saingan Liga Super hanya tinggal 13 pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2024 @ 2:58 PM