AKSI pemain Kelantan FC,  Hafizan Ghazali mengasak pemain Terengganu FC, Sony Norde dalam saingan suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Mei 2023.
AKSI pemain Kelantan FC, Hafizan Ghazali mengasak pemain Terengganu FC, Sony Norde dalam saingan suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Mei 2023.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persoalan nasib Kelantan FC sama ada boleh beraksi di Liga Super atau sebaliknya akhirnya menemui titik noktah apabila Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menolak rayuan permohonan Lesen Kebanngsaan pasukan itu.

Ini bermakna, tiada kelibat Kelantan FC dalam kancah saingan Liga Super musim 2024/2025 sekali gus pasukan terbabit boleh mengucapkan selamat tinggal kepada kelab lain.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL Mohamad Yasin Abdullah, pihaknya sudah bermesyuarat semalam seterusnya menolak rayuan kelab itu.

"Keputusan bahawa rayuan kelab Liga Super Kelantan FC untuk memohon Lesen Kebangsaan bagi musim 2024-2025 adalah ditolak selaras dengan Artikel 3.4.4 yang termaktub di dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023.

"Perkara itu diumumkan kepada pasukan hari ini melalui pemakluman rasmi sekali gus menyaksikan Kelantan FC tidak layak untuk beraksi dalam saingan Liga Super musim 2024-2025," katanya, menerusi kenyataan media, sebentar tadi.

Kelantan FC sebelum ini mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL berikutan keputusan First Instance Body (FIB) yang menolak permohonan Lesen Kebangsaan bagi kitaran 2023 pada 1 Januari lalu.

Mengikut rekod, Kelantan FC gagal untuk mendapatkan lesen kebangsaan sekali gus tidak layak bertanding dalam saingan Liga Super musim ini.

Pengerusi FIB Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Pelesenan Kelab MFLyang diadakan secara dalam talian.

Jelas Sheikh Mohd Nasir, Kelantan gagal melengkapkan dua kriteria Kewangan di bawah sub-kriteria F.04 dan sub-kriteria F.11 sebelum tarikh akhir ditetapkan masing-masing pada 30 November dan 31 Disember lalu.

Pasukan berpangkalan di Timur tanah air itu didapati masih lagi mempunyai tunggakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 4:28 PM