PEMANDANGAN Kuala Lumpur - Gambar hiasan
PEMANDANGAN Kuala Lumpur - Gambar hiasan
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kerajaan perlu berpendirian teguh dalam usaha penyasaran subsidi berikutan dalam setiap dasar dan keputusan dilaksanakan sudah melalui proses penilaian kos dan manfaat ekonomi kepada rakyat, peniaga dan kerajaan.

Penganalisis Ekonomi dan anak Malaysia yang berkhidmat dengan kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai Penasihat Ekonomi di Kementerian Sumber Manusia dan Emiritisasi, Dr Mohd Yusof Saari berkata, kerajaan juga dijangka sudah menilai secara jitu impak langsung dan tak langsung ke atas golongan kos perniagaan dan perbelanjaan rakyat.

Katanya, kerajaan juga sudah pasti menilai pelbagai pilihan sebelum membuat penyasaran subsidi termasuklah pilihan antara kenaikan secara berperingkat (seperti 20 peratus bulan pertama, 30 peratus bulan kedua dan sebagainya).

"Kerajaan sudah pasti sudah menilai persekitaran ekonomi luaran seperti nilai tukaran Ringgit yang turut memberi impak kepada harga barangan domestik.

"Apabila proses penilaian dibuat dengan baik dan turut membabitkan pelbagai pihak, maka kerajaan perlu berpendirian teguh dalam usaha penyasaran subsidi.

"Jika kita andaikan kerajaan mengambil yang tepat dan betul pada masa keadaan ekonomi ketika ini, maka kerajaan harus tetap teguh dengan keputusan itu.

"Subsidi bersasar mengurangkan beban fiskal ke atas kerajaan dengan mengarahkan sumber hanya kepada mereka yang benar-benar memerlukan bantuan," katanya dalam kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 7:26 AM