MESSI mengalami kecederaan otot paha. FOTO AFP
MESSI mengalami kecederaan otot paha. FOTO AFP
AFP

Miami: Lionel Messi akan terlepas perlawanan terakhir kumpulan Copa America, Argentina menentang Peru selepas mengadu kekejangan otot, kata pegawai pasukan.

Penolong jurulatih, Walter Samuel memberitahu sidang akhbar bahawa bintang Inter Miami itu 'hari demi hari' bergelut dengan kecederaan pada otot paha kanannya.

"Leo berdepan masalah dalam perlawanan terakhir, dia tidak akan beraksi," kata Samuel.

"Kami akan memantau hari demi hari proses pemulihannya."

Samuel, sementara itu, menjelaskan ia tidak akan memberi kesan kepada seluruh pasukan tanpa Messi.

"Pasukan sentiasa terbukti mampu melaksanakan tugas sebelum ini apabila dia tidak bermain," kata Samuel, membayangkan bahawa pemain veteran Angel Di Maria mungkin akan menggantikan Messi.

Argentina sudah pun menempah tempat ke suku akhir selepas menang menentang Kanada dan Chile dalam dua perlawanan awal mereka.

Keputusan seri dalam perlawanan esok menentang Peru di Stadium Hard Rock di Miami akan menjamin Argentina layak ke lapan terakhir sebagai juara kumpulan.

Argentina dijangka merehatkan beberapa pemain pilihan utama menentang Peru, walaupun Samuel menegaskan juara dunia itu tetap akan mencari kemenangan.

"Peru mempunyai pemain terbaik; kami mengambil perlawanan ini dengan penuh kesungguhan," kata Samuel, yang akan bertanggungjawab di bangku simpanan dengan jurulatih Lionel Scaloni menjalani penggantungan satu perlawanan.

Scaloni dan Argentina dikenakan hukuman selepas pasukan itu lewat muncul pada separuh masa kedua dalam perlawanan menentang Chile dan Kanada.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 7:25 AM